Masalah lain di sebalik isu Taman Manggis


Mustafa K. Anuar

Anggota dan pegawai Majlis Bandaraya Pulau Pinang di flat PPR Taman Manggis semasa pengusiran pada Rabu lalu. - Gambar The Malaysian Insight oleh David ST Loh, 10 Mac, 2019.

PENGUSIRAN 22 penduduk flat kos rendah atau Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Taman Manggis, di Pulau Pinang rupa-rupanya lebih dari hanya isu rakyat yang mahukan bumbung tempat berteduh.

Ia tentang sekumpulan penduduk yang menurut pihak berkuasa sudah tidak lagi sepatutnya tinggal di kawasan perumahan kos rendah ini kerana kebanyakan mereka kalau pun tidak semua, melanggar syarat dan peraturan menyewa di situ.

Rumah itu asalnya hanya untuk sementara, tetapi ada yang sudah menetap di situ lebih lima tahun – tempoh jangkaan tahap ekonomi mereka akan meningkat lebih baik dan seterusnya tidak lagi layak tinggal di situ.

Selain memperoleh gaji bulanan lebih RM750, penduduk yang terjejas ini juga dikatakan melanggar beberapa peraturan seperti memiliki rumah, menyewakan unit PPR, malah ada yang tertunggak sewa sehingga ribuan ringgit. Sewa bulanan unit di situ ialah RM100.

Semua ini tidak adil untuk mereka yang lebih layak, yang masih dalam senarai menunggu kerana semua ini bermakna selama ini mereka dinafikan hak untuk mendapatkan sebuah rumah sempurna.

Isu penduduk yang diusir itu mendedahkan nasib malang lebih 400 orang memerlukan yang masih menunggu untuk mendapatkan unit di flat Taman Manggis.

Mempunyai tempat tinggal adalah keperluan asas dan hak asasi. Itu sebabnya imej orang diusir, baik dengan alasan betul atau tidak, menjentik reaksi yang beremosi.

Malangnya dalam situasi yang penuh emosi seperti ini, sesetengah pihak dilaporkan cuba mengambil kesempatan politik dengan menjadikan kontroversi itu isu perkauman kerana kebetulan semua penduduknya datang dari satu kaum dan agama.

Ini menyulitkan lagi usaha pihak berkuasa untuk bertindak profesional dan tegas.

Kedua-dua pihak baik pegawai mahupun penduduk perlu patuh pada undang-undang dan peraturan bagi memastikan keperluan pendudukan yang dilayak dipenuhi sewajarnya.

Insiden ini juga menunjukkan betapa lemahnya penguatkuasaan undang-undang peraturan oleh pihak berkuasa tempatan berhubung penyewaan flat kos rendah ini.

Kelemahan itu memberikan kelompok penyewa yang degil rasa keberhakan yang salah.

Kes Taman Manggis ini juga mendedahkan betapa rendahnya jumlah rumah mampu milik di Pulau Pinang iaitu 999 unit, jumlah PPR paling rendah di seluruh negara.

Dari satu sisi, ini mengukuhkan lagi rasa syak wasangka dalam kalangan rakyat yang prihatin dan aktivis sosial bahawa kerajaan Pulau Pinang tidak memberikan perhatian yang cukup pada keperluan perumahan golongan miskin 40 peratus di bawah serta kumpulan kelas menengah di negeri itu.

Membina lebih banyak rumah mewah dan mahal seperti yang cenderung dilakukan pemaju perumahan di Pulau Pinang adalah sesuatu yang tidak betul.

Bagaimanapun golongan yang memerlukan boleh menarik nafas lega dengan kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin yang mengumumkan pelan untuk membina lebih banyak unit PPR bagi mengatasi kekurangan rumah di Pulau Pinang.

Apa yang jelas, ia tidak akan melibatkan penambakan tanah.

Selebihnya, ketidakmampuan banyak orang untuk memiliki rumah sendiri antaranya ada kaitan dengan keadaan sistem pengangkutan awam yang tidak dibangunkan sepenuhnya baik di Pulau Pinang mahupun di tempat lain di seluruh negara, sehinggakan orang menghabiskan sebahagian besar pendapatan untuk membeli kereta dan motosikal.

Jelasnya, keperluan rumah rakyat Malaysia terutama golongan miskin perlu ditangani dengan lebih komprehensif dan prihatin.

Pada masa sama, peraturan dan undang-undang mesti dikuatkuasanya bagi mengelak sistem perumahan ini disalah guna.  – 10 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen