.jpg)
ADAKAH anda semua membaca mengenai diskriminasi perkauman pengambilan pekerja yang berlaku dalam sektor swasta, kajian yang dilakukan oleh Cent-GPS?
Saya yakin anda semua berasa marah dan mempunyai banyak idea tentang bagaimana untuk menyelesaikannya.
Saya hanya mahu menyorot dua perkara tentang kajian tersebut:
Pertamanya, laporan tersebut menyatakan pada muka surat 12 kajian tersebut berdasarkan satu kajian awal yang dilakukan oleh Lee Hwok Aun dan Muhammed Abdul Khalid, yang diterbitkan pada tahun 2016 dalam Journal of the Asia Pacific Economy.
Walaupun kajian awal tersebut telah dilakukan oleh dua penyelidik, laporan Cent-GPS hanya meletakkan nama penyelidik berbangsa Melayu di sub-tajuk, “The Work by University Malaya’s Dr Muhammad Abdul Khalid” (sila rujuk gambar). Nama penyelidik berbangsa Cina telah dipadamkan.
Bukan itu sahaja, sub-tajuk tersebut juga menyatakan Muhammed daripada Universiti Malaya. Ini adalah salah.
Lee ialah penyelidik daripada Universiti Malaya manakala Muhammed daripada Universiti Kebangsaan Malaysia.
Berdasarkan QS Global World Ranking, UM menduduki tempat ke-87 sedangkan UKM menduduki tangga ke-184.
Sekiranya Cent-GPS ingin meningkatkan prestij kajian yang dilakukan sebelumnya dan hasil kajian mereka berdasarkan penyelidik daripada UM, jadi seharusnya ia adalah Lee daripada UM.
Jadi, kajian Cent-GPS mengkritik diskriminasi perkauman tetapi hanya mengkreditkan kajian yang ditulis oleh dua penyelidik kepada penyelidik berbangsa Melayu dan memadamkan nama penyelidik yang berbangsa Cina daripada sub-tajuk?
Keduanya, salah satu dapatan penting daripada kajian Lee dan Muhammed menunjukkan syarikat swasta yang dimiliki oleh orang Melayu juga lebih memilih bangsa Cina untuk bekerja dengan mereka berbanding bangsa Melayu. Mereka memperincikan maklumat syarikat tersebut untuk mengenal pasti faktor bangsa yang terlibat.
Seperti yang dinyatakan oleh kajian Cent-GPS, muka surat 12: “Even companies that were Malay-controlled called Chinese applicants 1.6 times more than they called Malay applicants.” (Walaupun syarikat yang dimiliki oleh bangsa Melayu memanggil pemohon berbangsa Cina sebanyak 1.6 kali lebih banyak berbanding pemohon berbangsa Melayu.)
Walaupun maklumat kaum bagi sesuatu syarikat itu penting, kajian Cent-GPS sendiri tidak memasukkan aspek tersebut dalam kajian mereka. Sebabnya adalah untuk memastikan pemilihan syarikat secara rawak seperti yang disebut di muka surat 42.
Alasan mereka tidak masuk akal untuk kajian mengenai diskriminasi perkauman. Maklumat kaum syarikat memberikan penerangan yang lebih jelas tentang adakah sektor swasta benar-benar mengamalkan diskriminasi perkauman atau adakah terdapat faktor-faktor lain yang mempengaruhinya?
Sekiranya syarikat yang dimilliki oleh orang Melayu juga lebih memilih bangsa Cina berbanding bangsa Melayu seperti dapatan kajian sebelumnya oleh Lee dan Muhammed, jadi hal ini bukan semata-mata mengenai hal perkauman tetapi melibatkan juga stereotaip sosial yang lain.
Oleh itu, kajian Cent-GPS adalah satu kerugian untuk mengetahui persoalan yang lebih utama, andai syarikat yang dimiliki oleh orang Melayu lebih memilih untuk mengambil kaum lain untuk bekerja, apakah faktor lain yang mempengaruhinya dan apakah penyelesaian yang perlu diambil?
Selain itu, tanpa memuatkan maklumat syarikat, dan juga (kesalah)tanggapan dalam masyarakat Malaysia bahawa sektor swasta dikawal oleh kaum Cina, maka hasil kajian oleh Cent-GPS akan lebih menanamkan sikap syak wasangka dan permusuhan antara kaum.
Sekiranya betul, kajian ini akan menjadi satu kajian yang kontrari bertujuan untuk menyorot dan merapatkan jurang perkauman tetapi akhirnya melebarkan lagi jurang tersebut.
Kita mesti menangani isu diskriminasi perkauman bukan sahaja yang berlaku dalam sektor swasta tetapi dalam semua sektor. Sementara itu, dalam menyelesaikan prejudis antara kaum ini juga tidak seharusnya dikecilkan hanya kepada soal bangsa semata-mata tanpa menghiraukan faktor stereotaip sosial yang lain.
Kajian yang tidak menyeluruh tidak akan menyelesaikan masalah tetapi akan selalu mengakibatkan kesan yang lebih buruk. – 10 Mac, 2019.
* Joshua Woo Sze Zeng adalah pembaca The Malaysian Insight.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen