GPS akan sokong cadangan pindaan Perlembagaan, kata KM Sarawak


Desmond Davidson

AHLI-ahli Parlimen dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan menyokong pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan apabila ia dibentangkan di Parlimen.

“Sudah tentu (kami akan sokong),” kata Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg ketika diminta mengulas mengenai pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong semalam iaitu Kabinet bersetuju untuk meminda Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan bagi menjadikan Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi dengan Semenanjung.

Abang Johari berkata beliau akan mengarahkan semua ahli Parlimen dalam GPS - kini tinggal 18 selepas Ahli Parlimen Sri Aman Masir Kujat masuk Parti Sarawak Bersatu (PSB) - supaya menyokong pindaan itu.

Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh mengenai nama, negeri-negeri dan wilayah-wilayah Persekutuan, dipinda pada 12 Julai, 1976 oleh perdana menteri ketika itu, Hussein Onn.

Sebelum pindaan tersebut, Perkara 1 (2) menyatakan: “Negeri-Negeri Persekutuan terdiri daripada: (a) Negeri-Negeri Tanah Melayu, iaitu Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Selangor dan Terengganu;
(b) Negeri-Negeri Borneo, iaitu, Sabah dan Sarawak; dan (c) Negeri Singapura”.

Selepas pindaan pada 1976, ia diubah semula kepada “Negeri-Negeri Persekutuan terdiri daripada Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Penang, Perak, Perlis, Sabah, Sarawak, Selangor dan Terengganu”.

Liew dipetik Bernama semalam berkata untuk mengembalikan hak-hak Sabah dan Sarawak seperti yang termaktub dalam MA63, adalah sangat bertepatan dimulakan dengan meminda perkara Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan kerana ia akan membuatkan Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia sebagai rakan kongsi yang mempunyai hak sama rata.

“Selepas pindaan itu Sabah dan Sarawak bukan lagi dikenali sebagai ‘Negeri’ dan banyak lagi perkara yang kami akan laksanakan selepas itu untuk memastikan semua hak dan kepentingan Sabah dan Sarawak dapat dilindungi.”

Beliau juga berkata pindaan akan dibentangkan di Parlimen pada sidang akan datang yang bermula 11 Mac ini.

Cadangan pindaan itu memerlukan majoriti dua pertiga untuk diluluskan.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika ini mempunyai 135 ahli Parlimen, termasuk sembilan dari Warisan, dan seorang dari Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko).

Untuk mendapatkan majoriti dua pertiga, PH memerlukan sokongan daripada 148 ahli Parlimen.

Dengan sokongan 18 ahli Parlimen dari GPS, kesemuanya berjumlah 163 undi. – 9 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen