Tiada dasar, pekebun sawit berat hati pelbagaikan tanaman


Mohd Farhan Darwis

Pekebun kecil kelapa sawit keberatan mengusahakan tanaman lain bagi membendung kerugian akibat kejatuhan harga komoditi berkenaan seperti disarankan kerajaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Mac, 2019.

PEKEBUN kecil kelapa sawit keberatan mengusahakan tanaman lain bagi membendung kerugian akibat kejatuhan harga komoditi berkenaan seperti disarankan kerajaan.

Golongan ini, yang menghasilkan 40% daripada keluaran kelapa sawit dalam negara, juga tidak yakin dengan saranan mengusahakan tanaman tambahan seperti buluh, nanas dan kelapa.

Kerajaan menyarankan demikian bagi menangani harga sawit di pasaran dunia yang tidak konsisten ekoran peningkatan persaingan dari Indonesia dan kempen negatif ke atas komoditi itu di Eropah.

Pada masa sama, Kabinet juga menghentikan pembukaan kawasan baharu untuk tanaman kelapa sawit untuk menangkis dakwaan bahawa tanaman tersebut mendorong kepada penerokaan hutan.

Pekebun kecil yang ditemui The Malaysian Insight berkata mereka mahu kerajaan membantu menangani kejatuhan harga sawit dan mahu terus mengusahakan tanaman itu.

Pekebun, Samsudin Mokhtar, 58, menganggap cadangan untuk mengusahakan tanaman alternatif sebagai tambahan dibuat tergesa-gesa dan sukar untuk dilaksanakan.

Bapa kepada dua anak itu menjelaskan, pendapatan beliau bergantung sepenuhnya kepada ladang kelapa sawit seluas 10 ekar.

“Kalau saya tebang semua kelapa sawit dekat ladang itu dan tanam buluh apa saya sekeluarga nak makan. Lagipun, kita tak tahu nak pasarkan buluh ke mana?

“Bagaimana pula dengan harganya, kos penjagaan dan pengurusan, mana boleh main cadang macam itu sahaja,” katanya yang kini memelihara 10 ekor lembu di ladangnya untuk pendapatan tambahan.

Seorang lagi pekebun, Ali Abu Bakar, 35, berpendapat kerajaan sepatutnya memberi panduan dan bimbingan kepada mereka untuk kepada tanaman seperti buluh secara komersial.

“Kita tidak ada ilmu pengetahuan tentang teknik tanaman buluh, memang tanaman itu dah lama ada, tapi kita tak tahu apa lagi yang boleh dibuat dengan buluh.

“Tidak seperti kelapa sawit, kita tahu pasaran, nak jual kepada siapa, ada agensi kerajaan yang boleh beri bimbingan dan bantuan,” katanya yang memiliki lima ekar ladang kelapa sawit.

Pekebun kecil berkata mereka mahu kerajaan membantu menangani kejatuhan harga sawit dan mahu terus mengusahakan tanaman itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Mac, 2019.

Beliau memberi contoh, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Peladang) yang membantu tanaman semula di ladangnya tiga tahun lalu.

Ia dijangka mula mengeluarkan hasil hujung Disember, tahun ini.

“Saya tanam penuh lima ekar semua kelapa sawit, katakan saya berminat nak tanam buluh, takkan saya perlu bunuh pokok kelapa sawit saya,” katanya.

Mereka mengulas cadangan disuarakan Menteri Industri Utama Teresa Kok supaya pekebun kecil sawit turut mengusahakan tanaman lain seperti buluh dan nanas mengikut kesesuaian tanah.

Cadangan oleh Kok itu susulan kepada kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad supaya pekebun kecil sawit mempelbagaikan tanaman mereka untuk menghadapi masalah kejatuhan harga itu.

Namun ia tetap tidak dapat diterima dengan mudah oleh golongan pekebun kecil ini yang bernaung bawah Persatuan Kebangsaan Pekebun-pekebun Kecil Malaysia (PKPKM).

Presiden PKPKM Aliasak Ambia berkata saranan seperti itu tidak memadai dan sepatutnya dijelaskan dalam dasar khusus selepas kajian mendalam.

“Tak boleh cakap suruh ganti, kelapa sawit sudah dikenali, kita ada dasar, peruntukan, teknologi, dan input berkaitan kelapa sawit semua kita bagi.

“Katalah tanam buluh, mana ada dasar tanam buluh? Berapa bantuan? Pendapatan bagaimana? Mana nak jual? Buat kajian dulu lepas itu barulah kita boleh cadangkan tanaman gantian,” katanya.

Kira-kira 65,000 pekebun kecil di dalam negara yang mengusahakan tanaman kelapa sawit serta getah, ini tidak akan dapat bertukar kepada tanaman lain dengan mudah, katanya.

Ini memandangkan kedua-dua tanaman itu berjaya mengeluarkan ramai pekebun kecil dari jurang kemiskinan sejak ia diperkenalkan dalam negara, kata Aliasak.

“Pada 1970-an, 45% pekebun kecil miskin, sekarang kira-kira 2% sahaja pekebun kecil miskin,” katanya.

Beliau berkata golongan pekebun kecil juga tidak berhasrat menentang kerajaan tetapi memerlukan dasar yang jelas serta bantuan.

“Benih ambil dari mana? Dulu getah dan kelapa sawit macam itulah, kerajaan buat dasar baharu orang yakin nak tanam,” katanya. – 9 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen