Agenda Bumiputera untuk kemakmuran bersama


MAJLIS Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) menyokong sepenuhnya kenyataan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali yang mengutarakan pandangan bahawa dengan kekalahan Pakatan Harapan dalam Pilihanraya Kecil Semenyih, adanya keperluan mendesak untuk memperkasakan agenda Bumiputera agar sokongan pengundi Bumiputera untuk Pakatan Harapan tidak terus berkurangan.

Hakikatnya, status ekonomi Bumiputera masih jauh ketinggalan daripada mencapai tahap keseimbangan ekonomi antara kaum:

• Pendapatan per kapita pada tahun 2014 bagi Bumiputera hanya sebanyak 21.7% (RM16,066 setahun) berbanding pendapatan bagi bukan-Bumiputera (RM74,067 setahun).

• Bumiputera hanya memiliki 26.1% daripada aset perumahan di Malaysia manakala bukanBumiputera sebanyak 63.3% sedangkan bilangan penduduk Bumiputera hampir 3 kali ganda berbanding bukan-Bumiputera.

• Sumbangan kepada ekonomi oleh SME Bumiputera hanya 12% daripada jumlah KDNK Malaysia.

• Pemohon kerja Bumiputera masih menghadapi diskriminasi pekerjaan di sektor swasta. Kajian oleh Cent-GPS telah membuktikan bahawa wujudnya diskriminasi pekerjaan yang besar di sektor swasta. Sebagai contoh, keperluan untuk bertutur bahasa Mandarin sebenarnya hanya alasan untuk menawarkan pekerjaan kepada kaum Cina sahaja. Hanya 29% daripada syarikat yang mensyaratkan bahasa Mandarin sebagai syarat pekerjaan sahaja cuba untuk memanggil balik calon bukan Cina yang mampu bertutur bahasa Mandarin untuk menetapkan masa temu ramah. Kesimpulannya, 71% syarikat yang kononnya memerlukan penguasaan bahasa Mandarin sebenarnya mencari alasan untuk hanya mengambil pekerja Cina.

• Gejala “Ali Baba” semakin berleluasa semasa penghujung pemerintahan kerajaan Barisan Nasional yang tersingkir dan membantutkan matlamat Agenda Ekonomi Bumiputera.

Realitinya Agenda Bumiputera menerapkan konsep Kemakmuran Bersama (Shared Prosperity) yang sebenarnya bukan perkara baru dan terkandung di dalam mukadimah Rukun Negara “mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara akan dapat dinikmati secara adil dan saksama”. Tun Dr Mahathir sendiri telah beberapa kali mengetengahkannya konsep Kemakmuran Bersama dalam ucapan-ucapan beliau.

Kemakmuran Bersama bukan sahaja memberi manfaat politik tetapi juga menjanjikan peningkatan aktiviti ekonomi. Apabila majoriti rakyat mempunyai tahap pendapatan yang terlalu rendah, kesannya adalah ekonomi yang sukar untuk berkembang akibat kurangnya pelaburan dan penggunaan isi rumah.

Kemakmuran Bersama adalah suatu yang perlu disokong oleh semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum. Pastinya, akan ada perbezaan pendapat berkenaan langkah dan strategi yang terbaik tetapi sesiapa yang mempersoal keperluan Kemakmuran Bersama seakan kekurangan nilai patriotisme.

Oleh kerana matlamat utama Kemakmuran Bersama adalah pemerkasaan keadaan ekonomi Bumiputera tanpa menjejaskan tahap ekonomi bukan-Bumiputera. Justeru, MTEM bimbang bahawa sesiapa yang menidakkan keperluan Kemakmuran Bersama sebenarnya mempunyai sifat anti-Bumiputera tanpa disedari.

Kemakmuran Bersama juga tidak melupakan golongan luar bandar yang majoriti besarnya adalah Bumiputera. Oleh kerana jurang ekonomi di antara bandar dan luar bandar semakin melebar, secara automatik, Agenda Bumiputera akan juga terjejas. Oleh itu, kerajaan harus juga memikirkan cara terbaik untuk memperkasakan industri luar bandar seperti pertanian, perikanan dan penternakan. Menjayakan industri-industri ini bukan sahaja akan mengurangkan jurang ekonomi di antara bandar dan luar bandar malah juga menjayakan Agenda Bumiputera, meningkatkan sokongan politik dan juga memperbaiki hubungan di antara kaum.

MTEM menggesa kerajaan Pakatan Harapan dan terutamanya, Menteri Hal Ehwal Ekonomi agar menterjemahkan Agenda Bumiputera yang selari dengan naratif kemakmuran bersama kepada dasar dan program yang praktikal dengan berani! Wujudnya rancangan perlaksanaan Agenda Bumiputera yang jelas dan meyakinkan pastinya akan meraih sokongan jitu komuniti ekonomi Bumiputera kepada Pakatan Harapan dan menjadi teras kemakmuran bersama negara.

Ketahuilah seluruh ahli MTEM dengan komuniti ekonomi Bumiputera akan berada di belakang mana-mana pemimpin yang tidak segan silu membela dan memperjuangkan agenda ekonomi Bumiputera. Dan bagi yang menentang ketahuilah mereka juga menentang kami semua! – 8 Mac, 2019

 

* Ahmad Yazid Othman merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM)

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen