LALUAN sukar menunggu Pakatan Harapan (PH) di DUN Rantau, sama seperti yang ditempuh dalam pilihan raya kecil (PRK) DUN Semenyih, kata Presiden Amanah Mohamad Sabu.
Ini memandangkan, pembangkang mempunyai kelebihan kerana kerajaan berada dalam keadaan mempertahankan diri.
“Rantau masih susah, kita kerja kena kuat,” kata Mohamad sewaktu ditanya mengenai peluang PH untuk merampas kawasan dikuasai Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan itu.
Umno dan PAS yang bekerjasama dalam PRK tersebut pula dibimbangi akan membangkitkan isu perkauman serta membakar sentimen pengundi Melayu, katanya.
Kerjasama itu membuatkan PAS dan Umno berasa kedudukan parti mereka dalam keadaan menguntungkan, yang menurutnya hanya satu langkah politik.
“Kita bertahan buat sementara, lawan kita menyerang. Bila berlaku perkahwinan antara PAS dan Umno mereka rasa mereka kuat.
“Saya tak kisah, nak berkawan dengan siapa, kerjasama dengan siapa itu politik,” kata Mohamad.
Beliau diwawancara oleh wartawan veteran Johan Jaafar dalam program Bicara Minda anjuran Sinar Harian di Shah Alam, hari ini.
Mohamad yang juga ahli Parlimen Kota Raja, ketika sidang medianya selepas itu berkata keadaan bertambah sukar untuk meyakinkan pengundi Melayu dengan pembangkang memainkan kempen parti kerajaan itu dikuasai DAP.
“Susah sebab naratif kami alat DAP termakan oleh orang Melayu, di Rantau kita akan beri penerangan dan biar rakyat dapat maklumat dan ikut mereka membuat pemilihan,” katanya.
Beliau turut menolak kesukaran untuk PH memenangi DUN Rantau berikutan kredibiliti calon Barisan Nasional (BN), yang merupakan bekas menteri besar Negeri Sembilan.
“Tidak, semua PRK kita anggap susah, tidak kira calon siapa,” kata Mohamad lagi.
PH tewas kepada BN dalam PRK DUN Semenyih apabila calon dari Bersatu Muhammad Aiman Zainali memperolehi 17,866 undi berbanding calon BN Zakaria Hanafi memperoleh 19,780 undi.
Kemenangan BN itu dipercayai turut disumbangkan bantuan jentera PAS yang turut sama berkempen untuk calon mereka. – 8 Mac, 2019.
Komen