KEBEBASAN bersuara yang kerajaan beri sudah disalah guna untuk menyebar berita palsu dan fitnah, kata Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.
Penyebaran maklumat palsu dan fitnah mengancam ketenteraman negara apabila ia melibatkan isu perkauman dan agama, kata beliau yang juga presiden Amanah.
“Kritiklah kelemahan kerajaan, kritiklah kelemahan kementerian saya, kritik saya tidak apa, jangan fitnah. Bila kita beri kebebasan nampaknya kebebasan itu disalahgunakan.
“Bila kita relaks nampak berlakunya salah guna dan ia bukannya kritikan, tapi berita palsu melibatkan perkauman dan agama,” kata Mohamad semasa diwawancara dalam program Bicara Minda anjuran Sinar Harian di Shah Alam, hari ini.
Mohamad diwawancara oleh wartawan veteran Johan Jaafar.
“Kita tak mahu timbul isu perkauman melampau,” katanya.
Awal minggu ini, Ketua Polis Negara, Mohamad Fuzi Harun mendedahkan pihak polis menerima 929 laporan di seluruh negara berhubung kes hina agama Islam dan Nabi Muhammad.
Dua lelaki didakwa berasingan di mahkamah minggu lepas sementara sekurang-kurangnya lima disiasat kerana jenayah khianat mengapi-apikan kaum serta penggunaan tidak wajar kemudahan Internet.
Mereka didakwa dan disiasat mengikut Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Semalam pula, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof mengumumkan sebuah unit khas di bawah Jakim untuk memantau tindakan hina agama Islam di media.
Mohamad yang juga presiden Amanah berkata, kerajaan perlu mengkaji semula kebebasan yang diberikan memandangkan ia mula memakan diri.
“Saya dulu bila keluar berita, mulut bergerak suara lain, sekarang boleh keluar suara pemimpin pembangkang boleh hentam kerajaan.
“Kita nak beri kebebasan bersuara tapi kalau sampai ke peringkat makan tuan kita nak kena kaji semula,” katanya yang juga ahli Parlimen Kota Raja.
Tambahnya, kebebasan yang diberi seperti janji manifesto PH adalah untuk mengkritik, bukannya memfitnah dan menyebar berita palsu.
“Sekarang kita janji dalam manifesto beri kebebasan tapi jangan sampai timbul fitnah, kalau soal kritik parti kita beri kebebasan,” kata Mohamad. – 8 Mac, 2019
Komen