Tiada masalah BN kerjasama dengan PAS, kata MCA


Sheridan Mahavera SM Amin Andrew Chin

Selagi mana PAS tiada rancangan untuk menyertai gabungan itu, kata Presiden MCA Wee Ka Siong. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 8 Mac, 2019.

BARISAN Nasional (BN) boleh bekerjasama dengan PAS selagi mana ia tiada rancangan untuk menyertai gabungan itu, kata Presiden MCA Wee Ka Siong.

Beliau berkata MCA dan MIC tidak memandang itu sebagai satu masalah bagi BN bekerjasama dengan PAS sebagai salah satu parti pembangkang.

“Saya dah katakan sebelum ini, tiada masalah BN bekerjasama dengan PAS untuk lawan PH (Pakatan Harapan),” kata Presiden MCA Wee Ka Siong kepada pemberita selepas Mesyuarat Dewan Tertinggi BN hari ini.

“Apa yang MCA bimbang ialah PAS masuk BN… tetapi kita tiada masalah bekerjasama dengan PAS atas nilai universal, contohnya menentang keputusan kerajaan untuk memansuhkan hukuman mati.”

Presiden MIC Vigneswaran Sanasee pula berkata partinya bersedia bekerjasama dengan PAS sebagai salah sebuah parti pembangkang.

Presiden MCA Wee Ka Siong dan Presiden MIC Vigneswaran Sanasee ketika ditemui pada Mesyuarat Tertinggi BN hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 8 Mac, 2019.

“Sebagai pembangkang, MIC tiada masalah bekerjasama dengan PAS. Semasa muktamar PAS, saya dijemput dan saya hadir,” kata Vignesewaran yang juga Yang di-Pertua Dewan Negara.

Tambah beliau, lebih masuk akal untuk meyokong sebuah parti pembangkang seperti PAS dalam pilihan raya daripada menyokong Pakatan Harapan (PH).

Vignesewaran turut menepis kritikan iaitu kerjasama dengan PAS bermakna parti-parti komponen BN menyokong usaha parti Islam itu menubuhkan sebuah negara Islam dan melaksanakan hudud.

“Tanya diri sendiri, adakah Amanah menentang semua ini (hudud dan negara Islam)? Amanah pada asasnya PAS dalam PH. 

“Pada satu ketika DAP sendiri pernah bekerjasama dengan PAS. Jadi jangan merepek. Bila PH buat apa-apa, okay, tapi kalau kami nak buat perkara yang sama, tak okay,” kata Vignesewaran. – 8 Mac, 2019.

Berita penuh di sini.        


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen