Tiada konsensus bubar BN, kata Mat Hasan


Sheridan Mahavera SM Amin Andrew Chin

Pemangku pengerusi BN Mohamad Hassan mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN hari ini. Dalam mesyuarat itu, MCA dan MIC kekal dalam BN. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 8 Mac, 2019.

MCA dan MIC kekal dalam Barisan Nasional (BN) sebagai komponen parti pembangkang itu, umum pemangku pengerusinya Mohamad Hassan selepas mesyuarat Dewan Tertinggi BN hari ini.

Satu jawatankuasa teknikal akan dibentuk untuk mengambil perhatian mengenai rungutan yang dibangkitkan kedua-dua parti komponen BN itu, katanya.

“Resolusi (untuk bubar BN) dibentangkan dan dibincangkan, tetapi tiada konsensus mengenainya. Bagaimanapun, kita akan ambil perhatian terhadap cadangan dan kita akan bentuk satu jawatankuasa untuk melihat sebarang rungutan yang dibangkitkan oleh rakan kita dalam parti,” kata Mohamad kepada pemberita selepas Mesyuarat Dewan Tertinggi BN hari ini.

Ini merupakan mesyuarat pertama Dewan Tertinggi BN selepas dua parti komponennya, MCA dan MIC, berkata mereka akan mempertimbangkan pilihan politik lain susulan Umno menjalinkan kerjasama dengan PAS.

Selepas kerjasama dengan PAS dalam beberapa pilihan raya kecil berjaya, Umno mahu membentuk satu pakatan rasmi dengan musuh tradisinya itu.

Selepas BN kalah pada pilihan raya umum tahun lalu, MCA mengemukakan usul supaya gabungan itu dibubarkan.

Mohamad juga berkata mesyuarat pada hari ini membincangkan rungutan mengenai pentadbiran BN ketika di bawah pimpinan bekas perdana menteri Najib Razak.

“Contohnya, MIC bangkitkan isu pengagihan bantuan secara terus kepada masyarakat India oleh kerajaan lama, kerana itu melemahkan MIC. Sebelum sistem itu, semua bantuan adalah melalui MIC.

“Perkara ini, termasuk pentadbiran BN negeri akan dibincangkan oleh jawatankuasa teknikal supaya tiada siapa yang akan rasa diketepikan.”

MCA dan MIC, kata Mohamad komited kepada BN dan gabungan itu masih kukuh, sekali gus menepis laporan bahawa ia kini di ambang kejatuhan.

“Umno tak pernah mahu BN dibubarkan kerana kita dah bersama sejak sekian lama dan banyak yang sudah kami lakukan untuk negara.”

Presiden MCA Wee Ka Siong berkata beliau menerima kenyataan bahawa tiada kata sepakat dicapai untuk membubarkan BN.

“Sejak awal lagi, BN membuat keputusan berdasarkan persetujuan, bukan secara unilateral. Sekarang keputusan sudah dicapai, saya akan bincang dengan Jawatankuasa Pusat MCA.

“Kita mahu BN kembali kepada asasnya, iaitu saling menyokong dan menghormati Perlembagaan Persekutuan.” – 8 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen