Pakatan lakukan 21 daripada 35 kesalahan pilihan raya di Semenyih


Asila Jalil

Bersih 2.0 dan pengerusinya Thomas Fann (dua dari kiri) menunjukkan laporan kesalahan pilihan raya yang dilakukan calon dalam PRK Semenyih pada sidang media di Petaling Jaya hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 8 Mac, 2019.

SEBANYAK 35 kesalahan direkodkan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih, dengan Pakatan Harapan (PH) melakukan 21 daripadanya, kata Bersih 2.0 hari ini.

Kes itu termasuk tindakan tidak wajar, belanja dan hadiah (5), keganasan politik, intimidasi dan gangguan(2), mempromosikan niat jahat atau permusuhan menggunakan agama dan kaum dalam berkempen (3) dan masalah pada hari mengundi (17).

Jumlah itu yang tertinggi dilakukan dalam enam PRK sejak Pilihan Raya Umum ke-14 tahun lalu.

Di Semenyih, Barisan Nasional melakukan 13 kesalahan, sementara satu kes membabitkan individu tidak diketahui.

Tiada kesalahan dilakukan oleh calon Parti Sosialis Malaysia dan calon bebas Kuan Chee Heng, kata badan pemantau pilihan raya itu pada sidang media di Petaling Jaya.

“Setakat ini, dengan 35 kes, ia jumlah kesalahan tertinggi pernah dilakukan, yang dicatatkan oleh Bersih saja,” kata pengerusinya Thomas Fann.

Fann berkata lima kes belanja dan beri hadiah dilakukan oleh PH.

“Mereka didapati memberikan bubur percuma kepada jemaah masjid dan minyak enjin kepada penunggang motosikal di beberapa program. Makanan juga dihidangkan di beberapa program ceramah PH.

“PH juga mengedarkan surat tawaran untuk program perumahan kepada golongan miskin tegar.

“Beberapa menteri dan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari didapati mengumumkan atau memberikan peruntukan khas untuk menaik taraf klinik, hospital, balai polis, dewan dan masjid di Semenyih,” katanya.

Fann berkata ini termasuk pengumuman oleh Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berhubung rancangan kerajaan membina klinik baharu di Semenyih dan menambah baik kemudahan di Hospital Kajang ketika ditanya oleh wartawan pada 25 Februari.

Beliau berkata kerajaan boleh membuat pengumuman dan janji ketika PRK itu tetapi berita berkenaan tidak sepatutnya khusus untuk kawasan di mana PRK sedang berlangsung.

Tiga kesalahan dilakukan BN membabitkan mempromosi niat jahat atau permusuhan menggunakan isu kaum dan agama.

Kesalahan pertama ialah Setiausaha Agung BN Nazri Abdul Aziz yang menuduh PH melepaskan hak Melayu kepada bangsa lain dengan melantik bukan Melayu sebagai ketua hakim, peguam negara dan menteri kewangan. – 8 Mac, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen