MEXICO mengusir duta Korea Utara semalam kerana membantah ujian nuklear terbaru Pyongyang, menyifatkannya sebagai “ancaman terbesar kepada keamanan”.
Duta Kim Hyong Gil diisytiharkan “persona non grata” dan diberikan tempoh 72 jam untuk meninggalkan negara itu, menurut kenyataan dikeluarkan Kementerian Luar Mexico.
Tindakan Pyongyang yang melakukan ujian nuklear keenam dan terbesar Ahad lepas adalah pencabulan serius undang-undang antarabangsa, kata kenyataan itu.
“Aktiviti nuklear di Korea Utara ialah ancaman besar kepada keamanan dan keselamatan antarabangsa dan menggambarkan perkembangan ancaman di rantau itu, serta kepada sekutu utama Mexico seperti Jepun dan Korea Selatan,” kata kerajaan Mexico.
Ujian letupan itu mencetuskan kecaman dan desakan oleh Amerika Syarikat, Korea Selatan, Jepun dan pelbagai negara lain yang meminta Majlis Keselamatan PBB memperketatkan sekatan kepada Korea Utara.
Washington sudah menghantar draf resolusi PBB mendesak sekatan minyak ke atas Korea Utara, membekukan aset Kim Jong-Un, sekatan ke atas industri tekstil dan penghentian bayaran kepada pekerja Korea Utara. – AFP, 8 September, 2017.
Komen