Apabila Nabi Muhammad dihina


Mustafa K. Anuar

Perlakuan mempersendakan agama dieksploitasikan sepenuhnya oleh sesetengah pihak dalam masyarakat sebagai cara untuk mengalih perhatian umum daripada isu lain yang lebih mendesak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Mac, 2019.

MASALAHNYA sudah sampai ke tahap yang serius sehinggakan sebuah unit khas ditubuhkan minggu ini oleh pentadbiran Dr Mahathir Mohamad untuk memantau semua bentuk komunikasi yang menghina Nabi Muhammad dan Islam, termasuk di media sosial.

Sejak beberapa minggu kebelakangan, kita melihat peningkatan meningkatnya jumlah individu, yang atas sebab musabab yang mereka sendiri tahu, dilaporkan mempersenda dan menghina Islam dan Nabi Muhammad melalui media sosial.

Fenomena ini membimbangkan kerana beberapa sebab.

Pertama, ia menunjukkan ada segmen tertentu dalam masyarakat yang kelakuannya tidak bertanggungjawab – pada era kebebasan bersuara dibuka seluas-luasnya – dan tidak menimbangkan kesan tindakan mereka kepada seluruh masyarakat.

Semua orang tahu, menghina Nabi yang diagungkan oleh umat Islam bukan saja tindakan tidak bijak malah bahaya. Melakukannya melalui papan kekunci sama bahayanya dengan bersyarah tentang kebencian agama dalam ceramah umum.

Keduanya, ada kesan serius ke atas hubungan etnik dan sikap saling menghormati agama lain kerana penghinaan terhadap agama seseorang adalah isu yang menjentik perasaan.

Ia meniup bara kebencian dan kurang percaya antara kaum dan agama ketika mereka yang mencari kuasa politik sewenang-wenangnya mempolitikkan kaum dan agama dengan berleluasa.

Malah lebih bahaya sekiranya perlakuan mempersendakan agama ini dieksploitasikan sepenuhnya oleh sesetengah pihak dalam masyarakat sebagai cara untuk mengalih perhatian umum daripada isu lain yang lebih mendesak.

Ketiga, perlakuan itu, sama ada sengaja atau sebaliknya, mengukuhkan tanggapan akan minda terkepung dalam kalangan Melayu Muslim tertentu yang merasakan agama mereka jadi sasaran “musuh” yang kononnya mahu menggantikan Islam dengan agama lain sebagai agama rasmi negara.

Akhirnya, tindakan yang tidak wajar ini akan jadi alasan sesetengah pihak konservatif untuk menyeru undang-undang lebih ketat bagi mengawal seluruh masyarakat yang dikatakan sudah terlalu bebas.

Setidak-tidaknya, kelompok ini akan mendesak kerajaan mengekalkan sesetengah undang-undang tidak demokratik yang masih ada demi melindungi “keselamatan negara”.

Rakyat Malaysia yang prihatin akan perkembangan dan masa dengan negara harus belajar daripada pengalaman negara lain seperti India, Bangladesh dan Myanmar, yang juga berdepan dengan ketegangan agama.

Lazimnya, konflik itu memakan korban dan memusnahkan harta awam dan peribadi, serta institusi sosial tertentu.

Dengan latar belakang itu, penubuhan unit pemantau khas di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) adalah satu langkah yang betul. Semua salah laku ini boleh dibendung dengan berkesan agar ia tidak berkembang jadi trend yang tidak sihat dalam masyarakat.

Unit khas itu juga harus jelas tentang apakah yang dianggap “menghina” dan “mempersenda” agama. Ini supaya wacana intelektual mengenai pelbagai aspek Islam tidak jadi memangsakan orang Islam (malah bukan Islam juga) yang pandangannya bertentangan dengan paradigma yang dominan.

Selain itu, ketika kita mengakui seriusnya kes-kes yang mempersendakan Islam dan Nabi, kerajaan juga perlu menimbang untuk memantau kemungkinan insiden hina agama lain selain Islam kerana itu juga akan ada akibatnya pada hubungan antara kaum dan agama.

Ini juga cara untuk kerajaan menunjukkan bahawa ia mempertahankan kesucian bukan hanya agama rasmi negara tetapi juga agama-agama lain, yang amalannya dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Usaha yang sama pentingnya juga perlu dibuat untuk meningkatkan kesedaran umum terhadap peri pentingnya saling hormat menghormati serta memahami antara penganut pelbagai agama di negara ini. Sekolah tentunya salah satu tempat bermula yang baik.

Dalam sebuah masyarakat yang berbilang kaum dan agama seperti Malaysia, mempersenda tokoh agama yang disanjung serta agamanya jauh lebih buruk daripada dosa besar. Ia boleh mendatangkan malapetaka. – 8 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen