RAFAEL Nadal menenangkan desas-desus tentang kemungkinan pusingan separuh akhir Terbuka AS akan menemukan dirinya dengan musuh lama, Roger Federer dengan memberi amaran kepada wartawan supaya tidak menggambarkan hubungan dua pemain itu seolah-olah pasangan “teman lelaki”.
Nadal dan Federer, dua pemain tenis terhebat sepanjang zaman, sudah bertemu 37 kali termasuk 12 kali di Grand Slams tetapi tidak pernah bertemu di New York.
Apabila ditanya apa yang dikaguminya tentang Federer, kawan serta musuh gelanggangnya, Nadal berusaha untuk menenangkan “bromance” yang cuba ditimbulkan media.
“Saya tak nak nampak macam saya ni teman lelakinya kan?” kata Nadal menyebabkan bilik media dipenuhi wartawan itu riuh dengan gelak ketawa.
“Kami tak mahu bercakap soal ini (mengagumi satu sama lain) sebelum perlawanan penting. Kami sangat hormatkan satu samal lain. Kami berjumpa (dalam pertandingan) banyak kali. Saya rasa kami buat perkara penting untuk tenis. Kami hargai sukan ini.
“Kami sentiasa berkawan baik. Saya rasa dia seorang duta tenis yang baik dengan imej bagus, dan sudah tentu mempunyai nilai (diri dan permainan) yang baik.
“Salah satu perkara penting adalah ia contoh yang baik untuk kanak-kanak, buat sesuatu dengan sangat cemerlang dan dengan sikap yang baik.
“Itu sesuatu yang saya dan anda boleh kagumi (tentang Federer)- saya rasa saya dah jawab soalan anda (wartawan).” – AFP, 8 September, 2017.
Komen