Kecacatan topeng pembuli siber dan impak kejahatannya


“YANG kurik itu kundi, Yang merah itu saga,Yang baik itu budi, Yang indah itu bahasa.”

Masyarakat Melayu sejak dari dahulu amat halus bahasanya dan amat menekankan baik budi pekerti dalam kehidupan seharian; baik dari segi amalan mahupun tutur bicara seharian antara satu sama lain. Betapa ditekankan kepentingan menjaga budi pekerti dan bahasa yang molek sehingga diabadikan dalam pantun yang malar segar di atas. Sesiapa pun kita dan di mana sahaja kita berada, asas inilah yang perlu kita pegang tidak kira kepada sesiapa sekali pun kita berinteraksi.

Tidak cukup dengan itu, Islam sebagai agama rahmah juga menekankan penganutnya agar sentiasa bertutur dan berinteraksi dengan baik tidak kira warna kulit mahu pun agama. Hadis ke-15 dari Hadis 40 dengan jelas menganjurkan umat nabi Muhammad s.a.w. agar berkata baik dan memuliakan jiran seperti yang dinyatakan berikut:

Daripada Abu Hurairah r.a., sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah bersabda: Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata baik atau diam, barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan jiran tetangga dan barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia memuliakan tetamunya.”

Tidak dapat disangkal lagi, difahami sejagat bahawa tidak kira dalam apa-apa situasi, menjaga budi tan tutur kata amatlah penting sehingga bukan sahaja menjadi satu adat yang bersepadu dalam identiti kaum, justeru menjadi satu penanda aras keimanan satu-satu individu Muslim itu.

Sungguhpun begitu, kemajuan teknologi kini mengubah bagaimana kita melihat interaksi antara kita berlaku. Cara kita berinteraksi di alam maya, khususnya di media sosial menampakkan betapa berbezanya kita menganggap alam maya ini berbanding dunia hakiki.

Salah satu keadaan yang sama yang menggambarkan betapa berbezanya cara kita berkelakuan dari segi cara kita menjaga adab dan tutur kata ialah bagaimana berbezanya kita ketika di dalam kenderaan ketika sedang memandu dengan apabila kita di luar kenderaan setelah tamat memandu.

Ada antara kita yang mulutnya sangat lancang mengeluarkan kata-kata yang cabul memaki hamun pemandu lain yang pada perkiraannya tidak bertimbang rasa atau tidak memandu dengan cara yang sepatutnya.

Contohnya, dilemparkan kata-kata makian yang kasar dan kadang-kadang kesat terhadap pemandu yang berada di lorong kanan tetapi memandu perlahan, pemandu yang tidak memberi signal dengan masa secukupnya sebelum membelok, tidak memberi laluan kepada pemandu lain yang terdesak perlu menukar laluan, dan pemandu yang menukar laluan secara tiba-tiba dan secara berbahaya.

Siapa sahaja yang tidak marah apabila berhadapan situasi begini? Tambah pula pada hari bekerja dan pada waktu puncak kesesakan jalan raya di bandar raya besar di Kuala Lumpur contohnya, makin menggelegaklah otak dibuatnya. Yang sempat istighfar itu, alhamdulillah. Tapi yang sudah sampai mencarut itu, astaghfirullah, entahlah.

Sebaliknya, apabila keluar dari kereta, terus kita jadi manusia yang berlainan; ibarat dua orang yang berbeza di dalam dengan di luar kenderaan. Satu faktor utama yang membolehkan kita bertindak dengan sangat berlainan dalam kes ini adalah kerana persepsi bahawa orang yang kita tujukan hamburan kata-kata makian itu tidak ada di hadapan kita secara fizikal.

Ya, benar, melainkan cermin kereta anda pecah atau terbuka atau pemandu lain boleh membaca gerak mulut kita (yang mana jarang berlaku), sememangnya kata-kata yang dihamburkan itu jarang sampai kepada orang yang dituju.

Maka apa yang kita boleh bandingkan dengan perbezaan situasi di alam maya dengan di alam realiti?

Kita boleh lihat lazimnya, pengguna media sosial bebas meluahkan apa-apa sahaja yang terbuku dalah hati mereka, termasuk komen mereka terhadap apa yang berlaku dan terhadap berita-berita, isu semasa, mahupun terhadap individu-individu tertentu.

Tetapi anehnya, adakah komen-komen seperti ini akan lebih mudah kedengaran dalam ruang awam realiti? Justeru jelas pula bezanya; mereka ini berani benar mengeluarkan kata-kata kasar, kesat, dan komen-komen yang tidak bertimbang rasa malahan kejam lagi seolah-olah tiada orang yang akan membacanya, padahal jelas sekali satu dunia boleh membacanya!

Satu silap pengguna media sosial ialah beranggapan menaip pada papan kunci dan menghantar komen dan pendapat mereka pada media sosial dengan hanya berhadapan skrin sahaja itu adalah lebih kurang dengan menghamburkan kata-kata kesat ketika berada dalam keadaan sendiri; apa mereka kisah, depan skrin sahaja, bukan?

Tetapi mereka gagal sama sekali memikirkan dua, tiga langkah ke hadapan sebelum mereka menghantar kiriman atau pendapat mereka ke alam maya. Mereka hanya melihat skrin mereka dan lazimnya akan terlepas pandang skrin yang akan dihadapi oleh orang lain di seluruh dunia, terutamanya terhadap pihak yang dituju komen-komen tersebut.

Maka terlihatlah di sini, bukan sahaja topeng pengguna media sosial ini cacat dan koyak rabak, malah turut memberi kesan yang bahaya terhadap pihak yang dituju tersebut, sama ada secara sengaja mahupun tidak sengaja. Komen-komen bahaya dalam media sosial inilah yang menyumbang kepada peningkatan arus aluran buli siber yang amat memberi impak. Antara golongan yang amat terkesan dengan buli siber ialah golongan kanak-kanak dan remaja.

Pembuli siber malah orang awam mungkin menganggap impak buli siber tidak seserius pembulian fizikal dan mental dalam alam nyata lantaran sifat buli siber yang hanya berhadapan dengan skrin sahaja. Namun kajian meta-analisis (https://jamanetwork.com/journals/jamapediatrics/fullarticle/1840250?alert=article) yang diterbitkan di Journal of American Medical Association (JAMA) pada Mei 2014 menunjukkan bahawa risiko ideasi bunuh diri (suicidal ideation) adalah secara signifikannya lebih tinggi dalam kalangan remaja dan kanak-kanak yang mengalami buli siber berbanding buli tradisional.

Kesan buli siber yang lebih mendalam ini berkait rapat dengan penggunaan internet sebagai medium penyebaran bahan-bahan yang memalukan mangsa dengan kebolehannya capaian pengguna alam maya yang lebih luas di samping sifat bahan yang dimuat naik di internet yang kekal; memburukkan lagi kesannya terhadap mangsa yang secara tidak rela mengulang tayang bahan, komen, mahupun rakaman yang memalukannya.

Langkah intervensi yang ampuh amatlah perlu dirangka dengan segera bagi membanteras gejala buli siber bagi mencegah komplikasi psikologi dan kesihatan mental serta kualiti hidup mangsa. Sehubungan itu, cadangan pindaan Kanun Keseksaan (Akta 547) oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat bagi menangani buli siber amatlah dialu-alukan  bertepatan dengan risiko impak buli siber yang tidak boleh dipandang enteng.

Sungguhpun begitu, tanggungjawab menangani buli siber bukanlah hanya terletak pada bahu kerajaan dan pembuat dasar sahaja. Pada peringkat sekolah dan keluarga contohnya, pendidikan penggunaan media sosial perlu dititik-beratkan oleh para guru dan ibu bapa agar tatacara penggunaan media sosial difahami dengan jelas dana agar disedari bahawa dalam media sosial mahupun dalam alam nyata, kesan buli tetap sama, jika tidak lebih teruk dalam alam maya.

Pada peringkat individu pula, perlu kita tanya pada diri kita sendiri sebelum menghantar komen atau berkongsi aib seseorang ke dalam talian; adakan kita akan berbuat sebegitu rupa di hadapan orang itu sendiri? Bagaimana jika yang dimalukan itu anak-anak kita sendiri, sahabat sendiri, saudara-mara kita sendiri malah diri kita sendiri? Sanggupkah kita berbuat sedemikian rupa atau menghadapi situasi yang begitu memalukan pada diri kita sendiri?

Ingatlah di mana sahaja kita berada, budi bahasa itulah yang perlu sentiasa kita jaga, tidak kira di mana sahaja kita berada dan dalam alam mana pun kita berinteraksi. Setiap kali kita menghantar komen yang tidak bertimbang rasa dan memalukan, akan ada yang akan terseksa menanggung malu; fikirkan dahulu sebelum anda ke dalam talian. – 7 Mac, 2019

* Wan Salman Wan Sallam merupakan pembaca The Malaysian Insight. 

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen