WSJ gesa Trump batalkan lawatan Najib


White House boleh menggunakan alasan taufan Irma dan perbincangan kongres untuk membatalkan lawatan Najib Razak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 September, 2017.

MENJELANG kunjungan Perdana Menteri Najib Razak ke White House, sebuah akhbar utama Amerika Syarikat menggesa Presiden Donald Trump membatalkan pertemuan mereka atas kebimbangan bersabit skandal 1MDB.

The Wall Street Journal berkata lawatan ke White House adalah jemputan yang baik, yang diidam-idamkan oleh pemimpin dunia, dan Najib mahu menggunakan kunjungan itu untuk kempen pilihan raya di Malaysia.

“Sebarang kejanggalan adalah lebih baik daripada memberikan pemimpin yang terpalit skandal peluang untuk bergambar di White House,” kata lidah pengarang akhbar itu, dalam gesaannya supaya lawatan itu dibatalkan.

Akhbar itu turut mempersoalkan kebijaksanaan Setiausaha Negara Rex Tillerson yang melawat Malaysia bulan lepas yang mahu terus menjalinkan hubungan dengan Najib walaupun perdana menteri itu kini menjadi sasaran siasatan Jabatan Kehakiman AS (DoJ).

DoJ sudah melancarkan siasatan jenayah ke atas dana yang didakwa merompak wang daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan kini mahu menangguhkan saman sivil yang difailkan sejak dua tahun lepas bagi merampas aset hartanah dan lain-lain bernilai lebih daripada AS$1 bilion (RM4.3 bilion).

Najib, yang sehingga tahun lepas merupakan pengerusi lembaga penasihat 1MDB menafikan wujudnya salah laku malah namanya sudah dibersihkan peguam negara daripada terlibat dalam kerugian berbilion ringgit syarikat sarat hutang itu.

“Mungkin Tillerson fikir Malaysia akan membantu memberikan tekanan kewangan kepada Korea Utara yang sudah lama menggunakan negara itu (Malaysia) sebagai pusat kewangan. Tetapi sukar sekali Najib menghentikan percaturan strategiknya dengan China. Bagi terus memastikan 1MDB bertahan ia memerlukan suntikan tunai dan China yang bersungguh-sungguh mahu membantu rakannya itu boleh menggunakan dana ‘One Belt, One Road’. Kemudiannya Najib boleh ‘membeli’ pembangkang dan mengukuhkan kekuasaannya,” kata sidang pengarang WSJ itu lagi.

Akhbar itu turut mendedahkan bagaimana bekas Presiden Barack Obama cuba bermesra dengan Najib apabila beliau melawat Malaysia pada April 2014 dan pada Disember tahun sama, Obama menjemput Najib untuk bermain golf di Hawaii.

Tetapi, kurang setahun selepas itu, Najib “memalukan” Obama dengan memenjarakan bekas Timbalan Perdana Menteri Anwar Ibrahim atas tuduhan liwat buat kali kedua.

Manfaat cuba menjalinkan hubungan rapat dengan Najib tidak jelas, kata WSJ, sambil menegaskan sekali lagi yang Malaysia kini sangat rapat dengan Beijing.

Akhbar itu berkata Amerika boleh menggunakan alasan yang berlapik untuk membatalkan lawatan itu dengan menggunakan alasan bencana Taufan Harvey dan Irma atau perbahasan di Kongres.

Najib dijadual mengadakan pertemuan dengan Trump di White House pada 12 September ini. – 8 September, 2017.

   


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen