Kes seleweng dana kuil, pengerusi bebas tahanan reman


Kalidevi Mogan Kumarappa

PENGERUSI Jawatankuasa Kuil Sri Mahamariamman Devasthanam, R Nadarajah dibebaskan hari ini selepas mahkamah menolak permohonan untuk menyambung perintah reman ke atasnya.

Namun dua lagi lelaki termasuk anaknya yang ditahan bersama beliau direman sehari lagi bagi kes penyelewengan melibatkan projek di tanah dimiliki kuil berkenaan di Kuala Lumpur.

Majistret Noraisyah Mohd Yusof memutuskan demikian ke atas permohonan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mahkamah juga mengarahkan Nadarajah dibawa ke Hospital Putrajaya untuk pemeriksaan kesihatan sebelum dilepaskan dengan jaminan SPRM pada jam 5 petang ini.

Ketiga-tiga lelaki itu direman selama tiga hari bermula Selasa lalu membabitkan kes tersebut memajukan tanah kuil tertua di Kuala Lumpur, Sri Mahamariamman Devasthanam di Jalan Bandar.

Difahamkan, ketiga-tiga individu yang berumur antara 45 hingga 75 tahun itu bertanggungjawab menguruskan sebuah kuil Hindu di Batu Caves, Selangor.

Terdahulu pada Isnin, SPRM merampas wang tunai lebih RM1 juta, beberapa barangan kemas dan jam berjenama yang jumlahnya tidak dipastikan dalam serbuan di kediaman Nadarajah.

Menurut sumber, wang tersebut dipercayai merupakan baki wang bagi pembinaan banglo miliknya yang diberikan pemaju untuk projek pembangunan tanah berkenaan.

Mereka disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Siasatan itu dibuat susulan gesaan seorang pemimpin PKR berhubung dakwaan penyelewengan dana kerajaan dan penderma kuil berkenaan.

Kuil di Jalan Bandar itu adalah yang tertua di Kuala Lumpur dan diuruskan Lembaga Pengurusan Kuil Sri Maha Mariamman Devasthanam.

The Malaysian Insight difahamkan, ketiga tiga individu berkenaan termasuk Nadarajah juga bertanggungjawab menguruskan kuil di Batu Caves, Selangor. – 7 Mac, 2019.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen