Parti perlu santuni semua kaum untuk menang PRK Rantau, kata penganalisis


Mohd Farhan Darwis

Pensyarah Jabatan Sosio budaya, Kesenian Melayu, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Awang Azman Awang Pawi ketiak bercakap pada forum yang diadakan di Universiti Malaya hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 7 Mac, 2019

MANA-mana calon parti politik yang ingin memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau perlu menyantuni pengundi dari semua kaum.

Penganalisis politik berpendapat, berbeza seperti PRK DUN Semenyih, keutamaan diberikan kepada pengundi Melayu kerana pola demografi menunjukkan komuniti itu membentuk sejumlah 69.2% daripada keseluruhan populasi pengundi.

“Di Rantau nanti parti yang akan menang adalah parti yang boleh menghidangkan untuk semua kaum, kena menyantuni semua kaum,” kata pensyarah Pusat Pencetus Bakat dan Latihan Industri (Citra), Universiti Malaya (UM) Muhammad Shamsinor Abdul Azzis.

Beliau berkata, strategi di Semenyih tidak lagi boleh diguna pakai kerana demografi di Rantau berbeza daripada Semenyih.

DUN Rantau mempunyai seramai 20,926 pemilih, berdasarkan Daftar Pemilih Induk 2018 Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang dikemaskini sehingga Februari lalu.

Daripada jumlah itu, 53.43% ialah pengundi Melayu, diikuti India 27.01%, dan pengundi Cina 18.81%, manakala lain-lain kaum adalah 0.75%. 

Pensyarah Jabatan Sosio budaya, Kesenian Melayu, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Awang Azman Awang Pawi berkata, pihaknya yakin Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan, akan menukar naratif Melayu, Islam dalam kempen di PRK nanti.

“Sejauh mana Tok Mat tukar naratif Melayu Islam kepada keterbukaan kepada semua. BN bukanlah parti yang ideologinya sempit, sebab itu mereka boleh berkuasa 60 tahun. 

“Saya percaya Tok Mat akan tukar naratif untuk santuni pengundi India di Rantau, untuk pastikan 15%-20% undi India sokong BN,” katanya, merujuk nama panggilan Mohamad.

Awang Azman berkata, dengan PAS dan Umno kini menjalin kerjasama rasmi, Mohamad perlu menukar imej mesra kepada semua kaum.

“Yang penting tukar naratif dan memasuki minda pengundi, BN bekerjasama dengan PAS bukan untuk melawan bukan Melayu,” katanya.

Sementara itu pensyarah Jabatan Sosio budaya, Kesenian Melayu, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Marzudi Md Yunus berkata, faktor Mohamad yang merupakan bekas penyandang kerusi itu dan pernah menjadi menteri besar Negeri Sembilan dijangka mampu memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN).

Mohammad Tawfik Yaakub, yang merupakan pensyarah dari Jabatan Pengajian Politik dan Pentadbiran, Fakulti Ekonomi, Universiti Malaya juga berkata, Mohamad, yang dijangka bakal calon DUN Rantau untuk BN digemari penduduk tempatan.

“Bakal calon Rantau bekas menteri besar Negeri Sembilan dan ketika pentadbirannya, dasar di Negeri Sembila disukai pengundi,” katanya.

SPR menetapkan 13 April depan sebagai tarikh pengundian untuk PRK DUN Rantau selepas mahkamah sebelum ini memutuskan kemenangan tanpa bertanding Mohamad di DUN Rantau pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu, terbatal dan tidak sah. – 7 Mac, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen