PAS akan menimbulkan masalah dalam setiap gabungan politik yang disertainya, kata penganalisis politik Mohamad Tawfik Yaakub yang tidak yakin dengan kerjasama baharu parti itu dengan Umno.
Pensyarah kanan Universiti Malaya itu berkata, sejarah membuktikan PAS akan bergaduh dengan setiap parti komponen sehingga mengakibatkan pakatan politik yang dibina berpecah.
“PAS parti bermasalah, bila duduk dalam satu gabungan akan bergaduh satu sama lain. PAS dari Umno keluar Umno dan tubuh parti baru.
“Apabila PAS bekerjasama dalam Barisan Alternatif, mereka berpecah, di dalam Pakatan Rakyat (PR), PAS keluar juga.
“Bila bersama bergaduh, bila berseorangan PAS gila meroyan,” kata Tawfik dalam satu forum di Universiti Malaya hari ini.
Forum berkenaan membincangkan sikap PAS yang kini merasmikan kerjasama dengan Umno selepas kejayaan meraih sokongan pengundi Melayu dalam PRK Dun Semenyih dan Cameron Highlands.
Pada Selasa lalu, kedua-dua parti menubuhkan jawatankuasa teknikal bagi memperincikan bentuk kerjasama kedua-dua parti pada masa akan datang.
Mengulas lanjut, Tawfik yang juga pensyarah di Jabatan Pengajian Pentadbiran dan Politik itu turut menasihat PAS agar tidak mempergunakan agama demi meraih sokongan politik.
Namun pada masa sama beliau mempersoalkan kemapuan parti lawan PAS, Amanah untuk menjadi pembela orang Melayu kerana hanya menjadi pak turut dalam Pakatan Harapan (PH)
“PAS kalau betul nak main politik jangan gunakan agama, ia mengelirukan kita. PAS kadang-kala seperti NGO, nak berdakwah tapi berpolitik.
“Amanah pula hanya mengikut hala tuju Pakatan Harapan (PH), jadi ke mana orang Melayu nak pergi?” soalnya dalam forum pasca-PRK Dun Semenyih itu.
Oleh itu, lebih baik PAS ditukar menjadi NGO Islam untuk mengembalikan kewibawaan membela Islam.
“Tukarlah nama, buat NGO Islam yang orang hormat daripada buat kepentingan politik yang tak menguntungkan umat Islam,” kata Tawfik.
Seorang lagi ahli panel, Awang Azman Awang Pawi bagaimanapun tidak bersetuju dengan label PAS sebagai parti bermasalah, melihat kepada hasil kerjasama parti itu dengan Umno.
Katanya, tanpa bantuan PAS, Barisan Nasional (BN) tidak mungkin dapat merampas kerusi Dun Semenyih daripada PH.
“Tanpa PAS bekerjasama bersama BN, PH akan menang,” kata pensyarah di Akademi Pengajian Melayu itu lagi.
Itu mendorong PH Dr Mahathir Mohamad mensasarkan serangan kepada presiden PAS Abdul Hadi Awang sewaktu kempen tersebut, walau tindakan itu tidak berjaya memberi kemenangan, katanya.
“Sebab itu Dr Mahathir berpolitik dan kenakan pimpinan PAS, tapi sebaliknya ia membangkitkan kemarahan orang PAS,” kata Awang Azman.
Seorang lagi pensyarah, Muhammad Shamsinor Abdul Azzis pula beranggapan, PAS tidak perlu kerjasama kerana terbukti tetap berpengaruh di kalangan penyokongnya ketika bergerak tanpa parti lain.
Pensyarah Pusat Pencetus Bakat dan Latihan Industri (Citra), UM itu berkata, jumlah kerusi yang diraih semasa PRU14 tidak jauh beza dengan jumlah kerusi semasa ia masih dalam PR.
“Pada PRU14, (walau) bergerak sendiri, PAS ada 18 kerusi. PAS tak perlu orang lain untuk hidup, dia boleh hidup sendiri,” katanya. – 7 Mac, 2019
Komen
Bagi saya pendapat yang ingin Dr. Keluarkan lebih baik secara rambang sahaja. Bukan meletakkan kesalahan pada sesuatu parti, atau istilah lain membina persepsi buruk pada sesuatu parti.
bawa isu ilmiah sikit, bukan politik.... Politik poket sendiri belum betul...
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Azhar Ramlee · Ulasan