Perjuangan ini bukan sekadar soal singkirkan Najib, kata Muhyiddin


Noor Azam Shairi Chan Kok Leong Low Han Shaun

Muhyiddin Yassin dalam wawancara ekslusif bersama The Malaysian Insight mengatakan perjuangan kini sudah melampaui soal menyingkirkan Najib tetapi bermatlamat untuk selamatkan Malaysia yang kini sistemnya toksik di bawah BN. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 8 September, 2017.

PERJUANGAN Bersatu bukan lagi setakat menyingkirkan Perdana Menteri Najib Razak tetapi jauh daripada itu, parti yang minggu ini merayakan genap setahun penubuhannya, mahu mengubah sistem dan institusi negara yang sudah rosak teruk, kata Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

Dalam wawancaranya yang pertama sejak mendirikan Bersatu, Muhyiddin berkata menurunkan Najib semata-mata tidak akan menyelesaikan masalah negara.

“Ini bukan hanya soal personaliti. Ini soal apa yang sudah beliau lakukan, dasar-dasar yang dimulakannya, kerosakan yang beliau buat pada negara, dan saki-baki masalah yang akan terpaksa diuruskan oleh generasi akan datang.

“Hutang berjuta-juta ringgit yang terbeban oleh negara dan masalah 1MDB masih perlu diselesaikan. Kalau Najib letak jawatan sekalipun, ia tidak akan menyelesaikan semua masalah ini,” kata Muhyiddin kepada The Malaysian Insight dalam wawancara di pejabatnya, semalam.

Bekas timbalan presiden Umno itu menjawab soalan apakah sekiranya Najib letak jawatan sebelum pilihan raya umum akan datang, rakyat akan kembali menyokong Barisan Nasional (BN).

Beliau ditanya soalan itu dalam konteks perbandingan senario Pilihan Raya Umum 1999 dan 2004. Susulan pemecatan Timbalan Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 1998, prestasi BN terjejas dalam pilihan raya umum yang diadakan setahun kemudian.

Terengganu yang selama hampir empat dekad diperintah secara berterusan oleh BN akhirnya tumbang kepada PAS dalam Pilihan Raya Umum 1999. BN juga kehilangan 42 kerusi Dewan Rakyat kepada pembangkang yang bergabung sebagai Barisan Alternatif.

Undi popular BN juga merosot kepada 56.53% berbanding 65.16% pada 1995.

Bagaimanapun, selepas Dr Mahathir Mohamad bersara dan persempadanan semula pada 2003, pengganti bekas perdana menteri itu, Abdullah Ahmad Badawi mendapatkan kembali 63.85% undi popular untuk BN dan berjaya menakluk 198 kerusi Dewan Rakyat pada PRU 2004.

Muhyiddin menjelaskan isu besar yang dihadapi oleh negara, di bawah pentadbiran BN, ialah sistemnya kini sudah jadi toksik.

Sistem negara di bawah pentadbiran Umno dan BN kini menjadi toksik, kata Muhyiddin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 September, 2017.

“Apabila sesuatu benda itu jadi toksik, apa saja yang bersentuhan dengannya jadi beracun.”

Dalam wawancara satu jam itu, Muhyiddin juga berkata Bersatu mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh PAS dalam pakatan pembangkang.

“Kita tak mahu bersaing dengan PAS dan bukan isunya apakah Bersatu melawan PAS.”

Tetapi kalau kita kaji apa yang berlaku dalam PAS dan jumlah ahlinya yang tidak berpuas hati (dengan parti Islam itu), ia tidak sekuat dulu lagi.”

Muhyiddin mendedahkan ramai juga ahli PAS yang keluar daripada parti Islam itu dan menyertai Bersatu.

“Saya ke Sik, Kedah beberapa bulan lalu untuk terima borang keahlian daripada lebih 400 bekas ahli PAS yang mahu masuk Bersatu.

“Mereka tidak masuk Umno atas alasan yang kita semua tahu. Mereka juga tidak masuk parti yang lagi satu (Amanah) kerana alasan sama tetapi apabila Bersatu ditubuhkan, mereka tidak rasa janggal untuk bersama-sama dengan kita. Kita bukan Umno.”

Berikut adalah petikan wawancara berkenaan:

TMI: Apakah Umno kini membilang hari-hari akhirnya?

Muhyiddin: Saya tidak melihat apa-apa pun sesuatu langkah proaktif yang diambil oleh pimpinan Najib untuk memperbetulkan keadaan. Malahan saya mengatakan (dalam ucapan di Perhimpunan Agung Umno) bahawa Umno sudah sampai ke tahap yang sukar untuk diperbaiki, sebuah parti yang sudah ditubuhkan selama (71 tahun) tetapi sudah melalui satu zaman malap kerana bukan saja tempoh (usianya) yang panjang tetapi kerana tidak ada penambahbaikan.

Ia dikaitkan dengan masalah-masalah yang kita hadapi hari ini — masalah penyelewengan, masalah rasuah, sehingga cash is king, dan ini terbukti nyata berlaku bukan saja di atas tetapi sampai ke akar umbi di bawah.

Jadi sebab itu saya fikir ia tak boleh sustain lama dan kita melihat sejarah politik negara-negara lain pun, parti sebegini walaupun ia pengasas membentuk negara merdeka pada waktu itu tetapi lama-kelamaan ia sudah lari dari landasannya. Apabila ia sudah lari, rakyat sudah mula kurang yakin lagi kepadanya. Lama-kelamaan, sokongan akan merosot, merosot dan merosot.

Saya yakin masa bagi Umno sudah sampai hampir-hampir ke penghujung. Mungkin pilihan raya yang akan datang jadi penentu sama ada ia kekal berkuasa atau tidak.


TMI: PAS pernah jadi komponen utama pembangkang. Kehilangan PAS dalam pakatan pembangkang bermakna akan hilang juga undi Melayu. Adakah Bersatu boleh mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh PAS?

Muhyiddin: Kami bersedia. Berikan kami masa dan dengan sedikit lagi usaha, kami akan dapat membentangkan dengan lebih jelas hala tuju dan isu-isu yang kami perjuangkan. Kemudian nanti, Insya-Allah, apabila kami membentuk kerajaan, kami akan ada kemampuan untuk memberikan apa yang rakyat mahu.

Saya fikir ini yang lebih penting iaitu membina keyakinan dan kepercayaan bukan saja dalam kalangan orang Melayu tetapi rakyat Malaysia keseluruhannya, itu penting.

Kita tak mahu bersaing dengan PAS dan bukan isunya apakah Bersatu boleh melawan PAS.

Jadi kalau kita melihat isu-isu dengan lebih mendalam dan cuba memenangi undi Melayu, tidak kisahlah sama ada mereka itu bekas penyokong Umno atau PAS, saya fikir kita akan dapat menarik sokongan daripada mereka juga.

Ini juga soal masa. PAS sudah lama dan Umno juga sudah lama, sementara kita baru setahun. Kena adillah dengan kita. Kalau diberikan masa dan kepimpinan yang baik yang membina sebuah parti yang lebih kukuh, saya fikir kita akan dapat melakukan apa yang kita mahu lakukan iaitu menggantikan Umno.

TMI: Kalau Umno sekarang nampak bergerak jauh ke kanan, Bersatu mahu berada di mana?

Muhyiddin: Apa yang penting bukan di tengah, kiri atau kanan. Apa yang mustahak ialah melakukan perkara yang betul, untuk rakyat.

Orang boleh kata ini kiri, itu kanan. Tetapi apa yang penting ialah apabila kita putuskan untuk melakukan sesuatu perkara ia bukanlah semata-mata untuk tunjuk oleh sebab parti sana buat begini, kita akan buat begitu. Kita tidak mahu begitu. Persoalannya ialah apakah sesuatu yang dilakukan itu betul atau tidak.

Saya fikir rakyat akan pertimbangkan sama ada apa yang kita lakukan itu adalah untuk mereka, untuk kepentingan mereka, melakukan perkara yang betul, mengukuhkan institusi, mendukung rakyat. Saya fikir inilah isu-isu yang jadi perhatian dalam kalangan rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

Saya tak mahu dicap sebagai orang tengah, orang kiri atau orang kanan. Saya hanya mahu buat benda yang betul.

Ini bukan hanya seorang yang menentukan tetapi kita ada pasukan yang berpengalaman dan idea, yang memikirkan apa yang terbaik dalam keadaan sekarang untuk rakyat Malaysia, untuk masa depan, untuk generasi akan datang — dalam soal ekonomi, pendidikan, integrasi nasional dan pembangunan sosial.

Inilah yang harus diambil kira, apakah yang terbaik untuk rakyat Malaysia.

Bersatu kini ditunjangi pemimpin yang pernah berada dipuncak kepimpinan Umno tetapi kini berjuang menentang parti Melayu itu termasuklah Dr Mahathir Mohamad . – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 September, 2017.

TMI: Ada jangkaan bahawa sentimen kaum dan agama akan dimainkan dalam PRU14 nanti. Apa komen?

Muhyiddin: Ya, itu mungkin kerana Najib dan BN sudah tidak ada lagi modal lain yang boleh digunakan kecuali isu-isu perkauman dan keagamaan pasal dia fikir isu-isu ini dekat di hati rakyat dan dia boleh mencetuskan sentimen dan perasaan suka dan tidak suka dan sebagainya.

Bagi saya, itu trend yang cukup bahaya. Dalam sebuah negara seperti Malaysia menggunakan isu yang sebegitu boleh membawa perpecahan, perbalahan, ketidakstabilan politik dan mungkin juga isu keselamatan. Kalau dia buat begitu, ia boleh membawa kerosakan kepada kita.

Kita kena berjaga-jaga dalam soal yang sebegini. Kita ada cukup banyak modal; mereka sudah tidak ada modal lagi. Kita mahu membetulkan banyak perkara. Kalau kita tumpukan perhatian pada itu saja pun, saya fikir rakyat akan sokong apa yang kita buat.

TMI: Pada 1999, Umno berdepan dengan kesukaran untuk mendapatkan undi orang Melayu selepas pemecatan Anwar Ibrahim tetapi pada 2004 undi orang Melayu beralih semula kepada BN antaranya kerana ada perdana menteri baru. Sekiranya Najib letak jawatan esok, apakah senarionya berubah?

Muhyiddin: Saya tanya saudara satu soalan: Bagaimana (perletakan jawatan Najib) itu akan menyelesaikan masalah?

Orang buat jangkaan kalau esok Najib letak jawatan, semuanya akan jadi elok semula. Adakah begitu? Atau adakah ia hanya sebahagian daripada masalahnya?

Ini bukan hanya soal personaliti. Ini soal apa yang sudah beliau lakukan, dasar-dasar yang dimulakannya, kerosakan yang beliau buat pada negara, dan saki-baki masalah yang akan terpaksa diuruskan oleh generasi akan datang.

Hutang trilion ringgit yang terbeban oleh negara dan masalah 1MDB masih perlu diselesaikan. Kalau Najib letak jawatan sekalipun, ia tidak akan menyelesaikan semua masalah ini.

Elok kalau dia tidak lagi jadi sebahagian daripada sistem tetapi sesiapa pun yang akan mengambil alih akan terpaksa menangani masalah-masalah itu.

Saya fikir ini tidak akan berakhir hanya dengan Najib letak jawatan. Ini bukan semata-mata tentang orangnya tetapi sistem yang dicipta oleh parti itu sejak bertahun-tahun sudah rosak teruk dan tidak lagi boleh dipertahankan.

Jadi, biarpun orangnya boleh jadi satu faktor tetapi ia sekarang sudah jadi toksik, dan apabila sesuatu benda itu jadi toksik, apa saja yang bersentuhan dengannya jadi beracun.

TMI: Jadi ini melampaui soal personaliti?

Muhyiddin: Personaliti itu satu hal, tetapi sememangnya ia kini melampaui soal personaliti. Masalah yang dihadapi oleh negara hari ini dimulakan oleh satu orang dan oleh sistem yang sudah korup.

TMI: Apa yang Tan Sri fikir waktu dipecat daripada kabinet?

Muhyiddin: Ada orang kata cuba tengok muka saya, adakah saya nampak sedih? Saya tidak rasa sedih. Sebagai seorang Islam saya menerima ini sebagai sesuatu yang sudah ditakdirkan. Kita terimalah kerana setiap sesuatu yang Tuhan lakukan kepada kita itu ada hikmahnya.

Saya rasa masanya juga sudah ditentukan. Tuhan tidak mahu melihat saya duduk bersama Najib kerana Najib sudah melakukan banyak kesalahan. Jadi Dia gerakkan hati Najib untuk keluarkan saya (daripada kabinet), maka dia pun keluarkanlah saya sebab saya sebut isu-isu tentang 1MDB dan sebagainya.

Hari ini saya terbebas daripada perasaan yang semacam itu kerana saya tidak dicengkam oleh kesalahan dan kemungkaran yang kita lihat hari ini. Saya tidak akan rasa tenteram kalau saya duduk di situ.

Ini satu rahmat yang terselindung. Saya tidak rasa ralat. Saya tidak rasa terkilan. Saya boleh berhujah kenapa saya tidak sepatutnya disingkirkan tetapi itu soal lain. Saya mahu melihat ke depan.

Saya rasa itu yang lebih besar, bukan tentang diri saya. Saya tidak mahu bercakap tentang diri saya. Saya mahu bercakap tentang parti, tentang perjuangan. Saya rasa itu lebih penting sekarang.

Saya ini cuma setitis air di lautan. Apa yang lebih penting ialah isu-isu yang dihadapi oleh rakyat Malaysia. – 8 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen