Ke arah penubuhan Majlis Media Malaysia


NATIONAL Union of Journalists (NUJ) Malaysia, Institute of Journalists (IOJ) Malaysia, Gerakan Media Merdeka (Geramm), Sabah Journalists Association dan Foreign Correspondents Club of Malaysia (FCCM) telah setuju bekerjasama ke arah penubuhan Majlis Media Malaysia.

Difahamkan bahawa satu cadangan penubuhan majlis media sedang dalam proses penyerahan kepada pihak kerajaan oleh sekumpulan pemilik syarikat media.

Kami secara bersama meraikan penubuhan majlis media.

Namun begitu, kandungan cadangan yang dibawa oleh pemilik-pemilik media sehingga kini belum didedahkan kepada umum ataupun pengamal media sendiri, dan tiada proses perundingan bersama organisasi-organisasi mewakili pengamal media.

Kami dengan ini menyatakan bahwa organisasi-organisasi seperti tertanda tidak akan menyokong apa-apa cadangan yang tidak dirujuk kepada pengamal media di semua peringkat.

Kami percaya pengamal media harus terlibat sebagai pemegang kepentingan utama dalam landskap industri tempatan, serta pemacu penubuhan majlis media di seluruh dunia.

Oleh itu, kami percaya masanya telah tiba bagi menubuhkan gabungan Majlis Media Malaysia, dengan tujuan merangka satu kertas cadangan yang akan diserahkan kepada pihak kerajaan pada April hadapan. Langkah ini adalah bagi memastikan kepentingan wartawan turut diwakili dalam Majlis Media yang akan ditubuhkan.

Dengan tujuan mengenalpasti dan memastikan kepentingan wartawan akan dilindungi, kami dengan ini menyeru semua pengamal media untuk mengisi kaji selidik Majlis Media.

Pautan kaji selidik ini akan ditutup pada 31 Mac, 2019, dan keputusan diperoleh akan dipertimbangkan oleh ahli gabungan dalam proses merangka kertas cadangan majlis media.

Kumpulan-kumpulan wartawan dan media yang berminat menyertai gabungan ini boleh menghubungi kami di [email protected] sebelum atau pada 31 Mac, 2019. Harap maklum bahawa kami hanya akan mempertimbangkan perwakilan kumpulan media, dan bukan individu.

Pada masa yang sama, kami turut ingin merakamkan penghargaan terhadap usaha badan bukan kerajaan termasuk Center for Independent Journalism (CIJ) dalam membuka ruang perbincangan tentang wacana penubuhan Majlis Media. Susulan itu, dilaporkan bahawa sebuah jawatankuasa pemandu akan ditubuhkan yang melibatkan kumpulan-kumpulan kami.

Walau bagaimanapun, kami ingin menjelaskan bahawa tidak semua kumpulan wartawan, seperti dilaporkan oleh beberapa media, telah memberikan komitmen terhadap proses yang digerakkan CIJ bersama Malaysian Centre for Constitutionalism and Human Rights (MCCHR).

Kami turut ingin menjelaskan bahawa sementara sebahagian dari kami akan terus terlibat dengan perbincangan melalui jawatankuasa pemandu, apa-apa cadangan akan dibawa semula ke peringkat gabungan bagi mendapatkan persetujuan muktamad jika terdapat keperluan.

Dokumen yang telah dipersetujui di peringkat gabungan akan disokong oleh semua ahli mewakili pengamal media, dan bukan mana-mana hasil usaha pihak ketiga.

Akhir sekali, kami menegaskan bahawa apa-apa usaha ke arah penubuhan majlis media akan sia-sia sekiranya tidak selari dengan pemansuhan dan/atau pindaan beberapa Akta yang menindas, seperti Akta Penerbitan dan Mesin Cetak 1984. – 7 Mac, 2019.

* Kenyataan bersama Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Malaysia, Institute of Journalist (IoJ) Malaysia, Gerakan Media Merdeka (Geramm), Sabah Journalists Association dan Foreign Correspondents Club of Malaysia (FCCM).
 

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen