SEORANG individu yang menggunakan nama Danny A’antonio Jr di Facebook ditahan polis bagi siasatan kes menghina agama Islam dan Nabi Muhammad.
Beliau merupakan individu kelima yang ditahan di seluruh negara kerana memuatkan komen jelik terhadap agama Islam dan Nabi Muhammad di media sosial.
Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun berkata lelaki berusia 28 tahun itu akan direman hari ini.
“Suspek disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan iaitu atas alasan agama, menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan dan permusuhan, benci-membenci atau niat jahat atau memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni dan perpaduan,” katanya.
Dalam satu kenyataan, Fuzi berkata lelaki itu turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 kerana didakwa menggunakan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dengan tidak wajar.
Fuzi turut menasihati orang ramai agar tidak menyalahgunakan media sosial atau sebarang rangkaian komunikasi untuk membuat provokasi berbaur perkauman.
“Jangan memuat naik atau berkongsi sebarang bentuk provokasi yang boleh menyentuh sensitiviti agama dan perkauman sehingga membangkitkan ketegangan kaum dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini,” katanya.
Semalam, polis menahan seorang pengguna Twitter yang menggunakan nama Alvin Chow kerana tulisan yang didakwa menghina Nabi Muhammad.
Polis turut menahan tiga orang pengguna Facebook bagi kes sama – masing-masing di Labuan, Sabah; Bau, Sarawak dan Petaling Jaya, Selangor.
Ia susulan 929 laporan polis yang dibuat berhubung kes penghinaan terhadap agama Islam dan Nabi Muhammad di seluruh negara.
Kerajaan turut menubuhkan unit khas bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia bagi memantau perlakuan hina agama Islam, sejak kes berkenaan semakin banyak dikesan. – 7 Mac, 2019.
Komen