Nasrudin Hassan, Mokhtar Senik pula disiasat kes dana RM90 juta


Kalidevi Mogan Kumarappa

Nasrudin Hassan Tantawi menurut sumber perlu hadir ke SPRM esok untuk memberi keterangan berkenaan kes RM90 juta, turut dipanggil Mokhtar Senik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Mac, 2019.

DUA lagi pemimpin kanan PAS, Nasrudin Hassan Tantawi dan Mokhtar Senik akan disiasat bagi kes dana RM90 juta yang didakwa disalurkan kepada pemimpin parti itu dari Umno.

Nasrudin dan Mokhtar, masing-masing ketua penerangan parti dan pesuruhjaya PAS Pahang, diminta hadir pada Jumaat, kata sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kedua-duanya diminta tampil pada jam 10 pagi di penjabat agensi anti rasuah itu di Pahang, kata sumber.

Ini menjadikan jumlah individu yang disiasat SPRM seramai 12 orang setakat ini bagi kes dana bagi kes dana RM90 juta disalurkan Umno yang disyaki berpunca dari 1Malaysia Development Bhd.

SPRM turut membekukan lima akaun bank dan menyita sekurang-kurangnya tiga kenderaan mewah bagi membantu siasatan.

Ia tidak melibatkan akaun milik PAS selepas SPRM mengesahkan tiada duit yang didakwa dari 1MDB masuk ke akaun rasmi parti Islam itu melalui Umno.

SPRM mendapati ia “dibersihkan” dengan memindahkannya dari satu akaun ke akaun lain, melibatkan beberapa akaun, sama seperti taktik dalam pengubahan wang haram, kata sumber.

Ketua Pemuda PAS Muhammad Khalil Hadi yang juga anak Presiden Abdul Hadi Awang selesai memberi keterangan kepada SPRM berhubung kes dana RM90 juta semalam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Mac, 2019.

Semalam, Ketua Pemuda PAS Muhammad Khalil Abdul Hadi dirakam kenyataan berhubung pemilikan motosikal berkuasa tinggi jenis BMW.

Motosikal itu disyaki dibeli menggunakan wang daripada dana RM90 juta tersebut, kata sumber SPRM yang menyiasat Khalil di ibu pejabat agensi itu di Putrajaya.

Adun Batu Buruk itu tidak memberikan sebarang dokumen berhubung motosikal mewah itu dan mendakwa ia milik Setiausaha Pemuda PAS Afnan Hamimi Taib Azamudden, kata sumber.

Pada Selasa, SPRM merakam keterangan Pengerusi KTMB Rameli Musa dan bekas exco Selangor, Zaidy Abdul Talib yang juga merupakan Yang Dipertua PAS Selayang.

Turut disiasat pada hari itu seorang kakitangan ibu pejabat PAS.

Siasatan diperluas ke atas Rameli dan individu terbabit selepas nama tokoh korporat itu dinyatakan sebagai individu yang didakwa bertanggungjawab membuat bayaran kepada blog Sarawak Report.

Bayaran itu didakwa untuk khidmat guaman bagi penyelesaian di luar mahkamah dalam kes saman Hadi terhadap Editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown.

Skandal RM90 juta diberi Umno kepada PAS pertama kali didedahkan oleh Ketua Pengarang Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown, membawa kepada saman di London yang kemudiannya diselesaikan sehingga siasatan SPRM. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Mac, 2019.

Peguam Rewcastle-Brown Americk Sidhu juga mendakwa Rameli menjadi perantara anak guamnya dan Abdul Hadi Awang.

Awal bulan lalu, Hadi dan Rewcastle-Brown menyelesaikan saman masing-masing di luar mahkamah London namun artikel 6 Ogos, 2016 berhubung tuduhan PAS menerima wang itu kekal di portal Sarawak Report.

Artikel lapan perenggan itu mendakwa RM90 juta dimasukkan ke dalam akaun pimpinan tertinggi PAS bagi mempengaruhi parti tersebut supaya menyokong Umno dan Barisan Nasional.

Pada minggu lalu, Sarawak Report menerbitkan satu lagi laporan mendakwa PAS menggunakan dana daripada Umno untuk membiayai calon parti itu bertanding pilihan raya umum Mei lalu.

Sarawak Report mendakwa kira-kira RM1 juta lagi didepositkan secara tunai oleh Umno ke dalam akaun PAS.

Empat lagi pemimpin kanan PAS yang disiasat adalah Mursyidul Am Hashim Jasin, Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan, serta dua exco, Mohamed Nasir Che Daud dan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Dua orang bekas pemimpin kanan parti tersebut yang turut dirakam kenyataan pula adalah bekas timbalan presiden Nasharudin Mat Isa dan bekas naib presiden PAS Husam Musa yang kini naib presiden Amanah. – 7 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen