MEDIA tempatan Iran persatuan Bulan Sabit Merah negara itu berkata ia telah menyediakan pakej bantuan untuk etnik Rohingya di Myanmar yang melarikan diri daripada serangan pasukan keselamatan.
“Pakej bantuan kecemasan, makanan, sokongan hayat dan kebersihan telah disediakan Bulan Sabit Merah untuk dihantar ke Myanmar,” kata ketua organisasi, Morteza Salimi yang dilaporkan agensi berita ISNA.
Pakej bantuan ini akan dihantar terus kepada rakyat negara itu yang tertindas jika kami terima kebenaran dari Myanmar,” katanya. Menurutnya lagi, arahan ini dikeluarkan oleh Presiden Hassan Rouhani.
Pegawai-pegawai Iran berulangkali mengutuk operasi keselamatan besar-besaran tentera Myanmar selepas militan Rohingya melancarkan beberapa serangan hendap maut pada 25 Ogos lalu.
Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berkata setakat ini seramai 164,000 pelarian telah melarikan diri ke Bangladesh.
“Masyarakat antarabangsa tiada alasan untuk membenarkan pembunuhan umat Islam Rohingya terus terjadi di depan mata kita,” Menteri Luar Negeri Mohammad Javad Zarif menulis di Twitter.
“Kita perlu bertindak sekarang sebelum terlewat.”
Duta Iran ke PBB, Gholam Ali Khoshrou berkata beliau sedang berusaha mendapatkan para menteri dan diplomat dari seluruh negara Islam untuk berbincang isu ini.
“Saya ada banyak berhubung dengan duta-duta besar negara Islam sejak kebelakangan ini. Dan kami memutuskan unutk membentuk satu kumpulan di peringkat duta dan menteri,” katanya seperti dilaporkan agensi berita, IRNA.
Beliau berharap kumpulan itu dapat bertemu di New York di mana Perhimpunan Agung PBB akan diadakan pada minggu depan.
“Semua orang harus berusaha untuk menghentikan bencana ini,” katanya. – AFP, 7 September, 2017.
Komen