Mahkamah Turki penjarakan lelaki serang jururawat berseluar pendek


Seorang lelaki dihukum penjara hampir empat tahun kerana menyerang seorang jururawat muda di dalam bas kerana memakai seluar pendek di Turki. – Gambar EPA, 7 September, 2017.

MAHKAMAH di Turki hari ini menjatuhkan hukuman penjara hampir empat tahun terhadap seorang lelaki yang menyerang seorang jururawat muda di dalam bas kerana memakai seluar pendek. Media tempatan melaporkan kejadian itu mencetuskan kemarahan awam.

Kejadian yang berlaku di Istanbul itu dirakam kamera dan lelaki itu dilaporkan menjerit “mereka yang berseluar pendek harus mati”.

Lelalki itu, Abdullah Cakiroglu yang bekerja sebagai pengawal keselamatan bagaimanapaun tidak hadir di mahkamah. Dia diarahkan menjalani hukuman penjara tiga tahun dan 10 bulan kerana “menghalang amalan kebebasan beragama, pemikiran dan pandangan”, juga menyebabkan kecederaan dengan sengaja, lapor agensi berita Anadolu.

Mangsa, Aysegul Terzi, 24 sebelum ini memberitahu mahkamah, dalam kejadian yang berlaku pada  September tahun lepas itu, penyerangnya menjerit dia “tidak patut hidup” sebelum menendang mukanya.

“Saya sering menangis, rasa marah, rasa seperti seseorang akan menyerang saya,” katanya kepada televisyen Turki.

Pada masa itu, Cakiroglu mengaku kepada media tempatan yang serangan itu “tidak betul” dan berkata dia menderita penyakit mental kerana sebelum ini didiagnos gangguan bipolar.

Insiden tersebut mencetuskan pendapat orang ramai dan menimbulkan protes jalanan di Turki dengan sepanduk berbunyi: “Jangan sentuh seluar pendek saya!”

Parti pimpinan Presiden Recep Tayyip Erdogan, Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) menghapuskan larangan terhadap wanita yang mengenakan jilbab.

Pengkritik telah menuduh AKP memimpin penularan Islamisasi Turki dan menghalang hak-hak persendirian. AKP bagaimanapun menafikan tuduhan itu. – AFP, 7 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen