POLIS menahan pemilik akaun Twitter atas nama “Alvin Chow” yang memuat naik status menghina Nabi Muhammad, di Plaza Pudu, di Kuala Lumpur, hari ini.
The Malaysian Insight difahamkan lelaki berusia 43 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Berat (D9) Kontinjen Selangor dalam satu operasi khas, berdasarkan maklumat dan risikan sejak beberapa hari lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Fadzil Ahmat berkata, suspek ditahan pada 5 petang tadi.
“Dalam tangkapan berkenaan, kami turut merampas telefon bimbit milik suspek untuk siasatan lanjut.
“Hasil siasatan mendapati suspek yang menetap di Danau Kota, Setapak mempunyai empat rekod jenayah lampau serta rekod dikehendaki polis mengikut Seksyen 420 dan 408 Kanun keseksaan,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Seksyen 420 memperuntukan kesalahan bagi perbuatan menipu manakala Seksyen 408 mengenai pecah jenayah.
Semalam, Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun mendedahkan pihaknya telah memulakan gerakan memburu individu berkenaan bagi membantu siasatan.
Lelaki berkenaan adalah antara empat yang diburu polis atas dakwaan melakukan kesalahan menghina agama.
Fuzi dalam kenyataannya semalam berkata polis sudah menahan tiga orang di Labuan, Sabah; Bau, Sarawak dan Petaling Jaya, Selangor hasil 929 laporan berhubung kes penghinaan terhadap agama Islam dan Nabi Muhammad di seluruh negara. – 6 Mac, 2019.
Komen