SEGALA usaha aktivis hak tanah bagi menentang projek ladang kelapa sawit berdekatan Taman Negara Mulu di Baram, Sarawak kini mengendur apabila ketua puak di kawasan pertikaian itu memilih untuk menyokong projek sektor swasta tersebut.
Aktivis hak tanah Dennis Along berkata puak-puak - Berawan, Tring dan Penan - hanya mampu menyalahkan diri mereka sendiri kerana meletakkan kepercayaan kepada pemimpin komuniti mereka yang akhirnya berpihak kepada syarikat perladangan, Radiant Lagoon Sdn Bhd.
“Mereka meletakkan kepercayaan kepada pemimpin komuniti mereka bagi menentukan apa yang terbaik untuk komuniti. Jadi tidak ada apa-apa yang boleh saya lakukan untuk mereka sekarang,” kata Along kepada The Malaysian Insight mengenai kegagalannya untuk meyakinkan suku-suku dan mengumpulkan sokongan bagi membantah projek ladang itu.
Pembersihan tanah yang giat berlangsung melibatkan kawasan seluas kira-kira 4,400 hektar itu termasuk tanah hak adat pribumi (NCR) milik Along sendiri.
Beliau mula melancarkan bantahan itu sejak tahun 2017, ketika Radiant Lagoon mengambil alih Pajakan Sementara (PL) tanah itu daripada syarikat lain.
PL adalah lesen sementara yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri kepada syarikat-syarikat bagi mengusahakan tanah negeri, dengan syarat-syarat yang memerlukan pemegang lesen mengenal pasti kawasan tanah NCR bagi mengelakkan pencerobohan terhadap kawasan tersebut.
Aktivis hak tanah, bagaimanapun, telah lama mendakwa bahawa syarikat-syarikat tersebut sentiasa gagal mematuhi syarat-syarat berkenaan, mengakibatkan pencerobohan tanah dan pelbagai tindakan mahkamah diambil terhadap mereka.
Penentangan akhir berlaku ketika pertemuan di antara aktivis dan pihak-pihak yang menentang projek perladangan itu dengan pihak berkepentingan di Miri semalam.
“Para pemimpin masyarakat, yang semuanya dilantik oleh kerajaan dan dengan itu menyebabkan pandangan mereka menjadi berat sebelah terhadap keputusan kerajaan, mereka memberitahu saya secara terus terang bahawa saya tidak mempunyai kuasa dan hak bagi mewakili masyarakat di sana,” kata Along.
Wakil rakyat yang terpilih di kawasan itu, Adun Mulu Gerawat Gala dan Ahli Parlimen Baram Anyi Ngau, juga memberitahu dalam mesyuarat tersebut bahawa pengundi mereka turut menyokong projek perladangan itu.
Along berkata ucapan itu sangat menganggu diri beliau dan aktivis lain, Willy Kajan ketika kedua-dua mereka berhadapan dengan pegawai kanan dari Jabatan Hutan, Tanah dan Survei, ketua polis daerah Miri dan Marudi, serta ketua komuniti di kawasan itu.
“Mereka tidak jujur tentang keseluruhan situasi. Mereka enggan beri jawapan berkenaan beberapa soalan penting,” kata Along.
Along, yang berasal dari suku minoriti, Tring, di Long Terawan, berkata beliau akan menumpukan penentangannya bagi membela tanah NCR milik keluarganya.
“Saya akan bertahan dan berjuang untuk pertahankan tanah saya. Selebihnya, saya minta maaf. Saya tidak boleh buat apa-apa untuk mereka sekarang. “
Bantahan terhadap projek ini datang dari 300 orang daripada suku Penan dari dua buah kampung di Baram, Long Linau dan Bateu Bungan, dan sebilangan anggota suku Berawan dan Tring di Long Terawan, yang suara mereka akhirnya tenggelam susulan pendirian ketua komuniti mereka.
Projek tersebut turut dikutuk oleh ahli alam sekitar dan diuar-uarkan oleh kumpulan konservasi hutan dari Switzerland, Bruno Manser Fund (BMF), yang mengatakan pembersihan hutan untuk perladangan sama seperti penebangan hutan dan merupakan sebuah ancaman terhadap taman negara Mulu yang terletak berhampiran kawasan itu, ia juga adalah kawasan yang diiktiraf sebagai tapak Warisan Dunia Unesco.
BMF telah menggesa moratorium diadakan bagi aktiviti pembalakan untuk perladangan kerana ia berdekatan dengan taman negara, di samping turut memberi amaran bahawa taman itu akan terjejas teruk “kerana ia akan merosakkan koridor hidupan liar di antara taman negara dan hutan utama Brunei”.
Penghalang manusia oleh suku-suku di kawasan itu pernah diadakan bagi menghentikan kerja pembersihan tanah.
Bagaimanapun, minggu lalu, aktiviti berkenaan dilihat senyap seketika, apabila Persatuan Hak Masyarakat Adat Sarawak (SCRIPS) mendakwa syarikat perladangan itu menghentikan kerja-kerja mereka dan mengeluarkan jentera traktor, dan penggali.
Namun The Malaysian Insight difahamkan bahawa penangguhan kerja-kerja di kawasan itu atas hanyalah sementara sebagai satu “tindakan damai” menjelang perbincangan semalam.
PL yang dikeluarkan bagi tanah yang dipertikaikan itu pada asalnya dikeluarkan kepada syarikat lain sebelum Radiant Lagoon membelinya pada tahun 2017.
Jabatan Hutan, Tanah dan Survei bagaimanapun enggan mendedahkan nama syarikat tersebut. – 6 Mac, 2019.
Komen