Polis masih bekerjasama dengan China cari Jho Low, kata KPN


Asila Jalil

Tidak mahu mendedahkan butiran mengenai mesyuarat Polis Diraja Malaysia dengan pihak berkuasa China, Mohamad Fuzi Harun berkata Low Taek Jho belum ditemui dan usaha untuk mengesannya masih dijalankan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 6 Mac, 2019.

KERJASAMA Polis Diraja Malaysia dan pihak berkuasa China bagi mencari ahli perniagaan Low Taek Jho masih berjalan, kata Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun.

Beliau berkata beberapa pegawai masih bekerjasama dengan pihak berkuasa China berhubung perkara tersebut.

“Banyak yang mengatakan (Low) berada di China, tetapi kami tidak pasti. Namun kami berusaha sebaik mungkin untuk mencari Jho Low,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman hari ini.

Pada bulan Januari, Fuzi berkata Polis Diraja Malaysia mengadakan pertemuan dengan pihak berkuasa di China mengenai usaha mereka untuk mengesan lokasi Low.

Tanpa memberikan butiran mengenai pertemuan itu, Fuzi berkata lokasi Low masih tidak dijumpai dan usaha untuk mengesannya masih dijalankan.

Beliau juga berkata polis turut berkomunikasi dengan polis antarabangsa dalam usaha mengesan usahawan yang terpalit dengan skandal berbilion ringgit 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Low, yang dikenalpasti oleh penyiasat dari Malaysia dan Amerika Syarikat sebagai watak utama dalam skandal tersebut, dipercayai terselamat daripada tahanan di Hong Kong dan melarikan diri ke sebuah pulau berhampiran Macau.

Fuzi berkata penyiasatan terhadap 1MDB berjalan dengan lancar, namun beliau berkata pihaknya tidak boleh mendedahkan butiran proses berhubung siasatan tersebut. – 6 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen