Usaha pertingkat etika polis tak boleh abai kebajikan, kata KPN


Asila Jalil

Fuzi juga turut berkata bahawa pihak polis turut bekerjasama dengan pihak berkepentingan bagi menyuarakan cadangan kepada kerajaan mengenai undang-undang yang perlu dipinda atau dimansuhkan dalam sesi parlimen yang akan datang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 6 Mac, 2019.

PUTRAJAYA perlu memberi perhatian berhubung kebajikan polis selain daripada berusaha untuk mengadakan suruhanjaya aduan salah laku bagi meningkatkan etika dan integriti pasukan keselamatan itu, kata Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun.

Beliau berkata kebajikan polis adalah antara cadangan yang diketengahkan dalam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan pasukan polis pada tahun 2005.

“Selain daripada Rang Undang-undang Suruhanjaya bebas mengenai Aduan dan Salah laku Polis (IPCMC) yang akan dibawa ke Parlimen, kami harap kerajaan turut memikirkan isu-isu kebajikan (pasukan polis), seperti apa yang dibentangkan oleh RCI pada tahun 2005.

“Terdapat 125 cadangan (oleh RCI), tetapi banyak perkara yang melibatkan kebajikan PDRM tidak diberikan perhatian,” katanya pada sidang akhbar selepas Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Polis 2018 di Bukit Aman hari ini.

RCI ditubuhkan berikutan bantahan berhubung kematian tahanan dan dakwaan pelanggaran hak asasi manusia oleh pasukan polis.

RCI tersebut mencadangkan penubuhan sebuah IPCMC bagi pengendalian bebas berkaitan aduan yang melibatkan polis.

Cadangan itu bagaimanapun tidak menjadi kenyataan dan turut dibantah oleh pasukan polis. Sebaliknya, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) dengan kuasa yang lebih rendah ditubuhkan.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengumumkan pada September tahun lepas bahawa IPCMC akan menggantikan EAIC.

Tahun lalu Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong berkata kerajaan akan membentangkan rang undang-undang bagi IPCMC dalam mesyuarat parlimen pertama tahun ini yang dijadualkan akan bermula Isnin depan, ia dilihat sejajar dengan manifesto Pakatan Harapan bagi mengatasi isu-isu berkaitan integriti pasukan polis.

Fuzi juga turut berkata bahawa pihak polis turut bekerjasama dengan pihak berkepentingan bagi menyuarakan cadangan kepada kerajaan mengenai undang-undang yang perlu dipinda atau dimansuhkan dalam sesi parlimen yang akan datang.

Beliau berkata antara mereka yang terlibat dalam perbincangan itu ialah kepimpinan pusat pasukan polis, ketua polis negeri dan anggota polis yang telah bersara.

“Jika kita fikir beberapa cadangan tidak sesuai, kita akan kemukakan cadangan kepada kerajaan yang kita fikir patut dipertimbang,” katanya. – 6 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen