Semangat BN musnah dengan kerjasama Umno-PAS, kata Nazri


Mohd Farhan Darwis

Nazri bagaimanapun berkata, beliau menyokong penuh usaha kerjasama antara Umno dan PAS itu kerana ia dilakukan demi survival politik kedua-dua parti. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 6 Mac, 2019.

SEMANGAT kepelbagaian kaum dalam Barisan Nasional (BN) yang diamalkan sejak 1969 musnah apabila Umno dan PAS memeterai kerjasama mereka secara rasmi semalam, kata Setiausaha Agung BN Nazri Aziz.

Nazri bagaimanapun berkata, beliau menyokong penuh usaha kerjasama antara Umno dan PAS itu kerana ia dilakukan demi survival politik kedua-dua parti.

“Semangat BN hilang bila PAS dengan Umno bekerjasama. Walaupun tak semestinya (hilang) kerana PAS pernah bersama Umno dan BN, tapi macam-macam boleh berlaku,” kata Nazri pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Sebagai ahli yang taat kepada parti, Nazri berkata, keutamaannya sekarang ialah menyokong pendirian parti.

“Yang paling penting Umno dan PAS dan perkahwinan baru mereka, saya dikenali sebagai Melayu liberal, Malaysia dahulu dan Melayu kemudian, tapi kami dalam politik.

“Saya terpujuk oleh dua pilihan raya kecil (PRK) sebelum ini di Cameron Highland dan Semenyih, apabila Umno dan PAS bekerjasama dan mereka menang dua PRK ini,” kata Nazri lagi.

Namun begitu, ahli Parlimen Padang Rengas itu berkata, jiwanya masih sayangkan semangat Malaysia yang berbilang kaum.

“Di hati kecil saya, saya mempunyai kasih dan sayang kepada rakyat Malaysia, walaupun saya kata keutamaan itu (kerjasama) untuk Melayu dan Islam, kita tidak abaikan bukan Islam. 

“Saya harap BN ini kalau boleh jangan dibubar, kerjasama itu harus BN dan PAS. Bila sebut BN sudah tentulah kerjasama itu antara bukan Melayu dan PAS, bila Umno dan PAS itu Melayulah,” kata Nazri lagi.

Dalam sidang medianya, Nazri menegaskan beliau tidak akan melepaskan jawatan setiausaha agung BN kerana ia akan menjejaskan parti walaupun MCA dan MIC mendakwa pelantikannya tidak sah.

“Kalau saya letak jawatan orang kata saya akan abaikan BN. Demi Allah! saya tidak mahu abaikan BN, saya mahu BN hidup,” tegas Nazri lagi.

“Saya perlu kata untuk sokong kerjasama Umno dan PAS dan pada masa sama, saya menjadi setiausaha agung BN yang berbilang kaum, ia jadi macam tak konsisten,” katanya.

BN ditubuhkan pada tahun 1973, atas  inisiatif perdana menteri kedua, Abdul Razak Hussein bagi menyatukan parti pemerintah dan pembangkang selepas sejarah hitam negara akibat tragedi rusuhan kaum pada 1969.

Parti itu kehilangan kuasa buat kali pertama dalam tempoh 61 tahun sejak tahun 1957 pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Mei tahun lalu.

Sebelum PRU 14, BN mempunyai 13 gabungan parti, namun sejak tewas,  gabungan itu kini hanya terdiri daripada empat parti komponen. – 6 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen