Nazri Aziz minta maaf kepada penyokong PAS


Mohd Farhan Darwis

NAZRI Aziz memohon maaf kepada penyokong PAS dan orang Melayu kerana sebelum ini pernah membantah kerjasama antara Umno dengan parti Islam itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 6 Mac, 2019.

NAZRI Aziz memohon maaf kepada penyokong PAS dan orang Melayu kerana sebelum ini pernah membantah kerjasama antara Umno dengan parti Islam itu.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) itu berkata, beliau membantah kerjasama seumpama itu sebelum ini kerana BN adalah sebuah parti berbilang kaum.

“Saya sedar dan sokong sepenuhnya hubungan Umno dan PAS dan saya minta maaf kepada Melayu di Malaysia sama ada ahli atau penyokong PAS kerana selama ini ketika saya tegas mengatakan kita tak patut bekerja dengan PAS demi BN yang mempunyai keanggotaan berbilang kaum.

“Saya ubah fikiran saya,” kata Nazri pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Semalam, pemimpin kanan Umno dan PAS memeterai persetujuan untuk bekerjasama sebagai pembangkang.

Kedua-dua parti juga setuju membentuk sebuah jawatankuasa rundingan yang masing-masing diketuai seorang naib presiden bagi memperhalusi bentuk kerjasama pada masa depan.

Menurut Nazri, kerjasama Umno dan PAS yang dimeterai secara sah semalam perlu kekal hingga ke Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

“Saya buat kesilapan politik dan saya mahu lihat Umno dan PAS teruskan ini, dalam untuk kita kita laksanakan apa yang baik untuk negara kita kena berkuasa,” katanya, yang juga Ahli Parlimen Padang Rengas.

Nazri juga sedia terlibat dalam kempen penerangan ke peringkat akar umbi mengenai kerjasama Umno dan PAS itu.

“Saya terpanggil untuk survival Umno dan PAS kita patut teruskan. Kita pastikan jangan kita bercerai. Saya 100% di belakang (Timbalan Presiden Umno) Mohamad Hasan dalam usaha ini,” katanya.

Nazri bagaimanapun mengharapkan kerjasama yang berlangsung bukan setakat Umno dan PAS, tetapi juga BN dan PAS terutamanya ketika pilihan raya.

“Kita tak abaikan sokongan Cina, dalam poitik kita mahu sokongan semua, saya nak syorkan jangan bubar BN supaya dalam pilihan raya BN kerjasama dengan PAS.

“Kita kena ingat, kita ada parti komponen yang tidak dpt masuk sebagai ahli tapi penyokong kuat. Kalau BN masih ada, dalam pilihan raya gabungan kita adalah BN dan PAS, bukan Umno dan PAS,” katanya.

Nazri bagaimanpun berkata pihaknya menyokong penuh keputusan pucuk pimpinan parti berhubung kerjasama berkenaan.

“Macam  mana pun keputusan Umno, kita sokong 100% dan kita tak abaikan kaum lain, cuma utamakan kepentingan politik Umno,” katanya. – 6 Mac, 2019.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen