Umno-PAS: Kembalinya politik ‘kaum tua’


KEPUTUSAN Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih memihak kepada Umno-PAS. Satu Malaysia sudah tahu berita ini. Pelbagai kritikan diberikan kepada Pakatan Harapan (PH) selepas kalah. Itu pun sudah dibaca orang. Semuanya telah dibahaskan dengan kaca mata realiti politik, sehingga kita terpaksa membicarakan isu-isu sensitif agama dan bangsa.

Perbincangan mengenai kekuatan naratif Umno-PAS dalam isu Melayu-Islam selepas kemenangan Semenyih seperti “mengaburi” strategi mereka dalam merencana kemenangan.

Selain daripada sentimen agama dan kaum, bagaimana Umno-PAS mampu memenangi pilihan raya kecil dua kali berturut-turut?

Terdapat beberapa faktor yang memenangkan mereka dalam dua pilihan raya kecil ini.

Pertama, kita harus akui Umno-PAS mempunyai akar umbi yang kuat dan aktif. Ahli kedua-dua parti di kawasan telah dibina sejak sekian lama. Walaupun kepimpinan Umno pusat retak selepas kalah PRU14, tetapi cawangan dan bahagian mereka telah menyelamatkan Umno-PAS pasca PRU14.

Mereka tidak ada masalah untuk mencari jentera dan calon di peringkat tempatan. Formula BN menggunakan calon tempatan di PRK Cameron Highlands dan Semenyih membuktikan pendekatan ini masih relevan. Berbanding dengan jentera PH, yang masih tidak kukuh di peringkat tempatan dan bergantung pada pemimpin di peringkat nasional.

Kedua, pendekatan pengagihan (decentralization) kuasa Umno-PAS menjadi. Umno kini menyedari kepentingan suara ahli di peringkat tempatan berbanding sebelum PRU14. Mereka juga tahu bahawa agenda kuasa Bumiputera dan Islam perlu diagihkan kepada PAS, individu dan NGO yang pro agenda mereka.

Umno menggunakan platform Najib Razak, “Malu apa bossku” untuk menarik pengundi moden Melayu. Mereka bersama PAS berjaya mengajak penyokong anti-ICERD dan penyokong yang membela arwah anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim untuk bersama mengumpul kekuatan.

Umno-PAS juga sedar rancangan tiga penjuru tidak lagi berkesan buat mereka. Berbeza semasa PRU14, rencana mereka untuk mengalahkan PH dengan memecahkan undi Melayu menerusi tiga penjuru, tetapi rencana tersebut seperti “senjata makan tuan”. Dari PRK Sungai Kandis, mereka bereksperimen hingga berjaya menang di Semenyih dengan menghantar satu calon sahaja.

Mereka juga tahu bahawa peratusan keluar mengundi antara 60 hingga 70% ke atas boleh mencipta kejayaan buat Umno-PAS berbanding tiga PRK di Selangor yang hanya mencatatkan bawah 50% jumlah keluar mengundi.

Di sebalik kemenangan Umno-PAS di kedua-dua pilihan raya kecil ini, apakah kesan kepada politik negara?

Pertama, politik “kaum tua” telah kembali. Golongan ini disifatkan sebagai tidak mesra kemajuan dan sukar menerima perubahan. Agenda Umno-PAS memberi ruang puak ini berkuasa semula, menolak idea-idea baharu yang boleh mengancam kedudukan mereka. Perkara ini memberi tekanan buat Malaysia Baharu yang mahukan perubahan menyeluruh buat Malaysia.

Kedua, suara anak muda juga bakal tenggelam. Malaysia Baharu telah memberi ruang kepada penyertaan orang muda tentang hala tuju negara. Namun, isu-isu berkaitan bangsa dan agama ini memberi ruang pemimpin tua untuk aktif dalam politik negara dan menolak pembaharuan yang diimpikan orang muda.

Penolakan kepada calon PH Muhammad Aiman Zainali di Semenyih memberi isyarat kejatuhan pemimpin muda dalam Malaysia Baharu. Bukan sekadar isyarat rakyat menolak PH.

Walaupun kemenangan Semenyih memberi sokongan moral kepada Umno-PAS, agenda yang dibawa dilihat tidak inklusif, berpihak kepada satu bangsa dan agama. PH perlu memperkukuhkan strategi dan kekuatan di peringkat tempatan dalam mendapatkan sokongan rakyat ke atas agenda Malaysia Baharu.

Penulis melihat kemenangan Umno-PAS di kedua-dua PRK ini membawa pembangunan Malaysia Baharu kian ke belakang. Agenda bangsa dan agama sekali lagi telah mendapat tempat dalam politik negara.

Walaupun 9 Mei dilihat sabagai satu kejayaan rakyat, namun banyak lagi kerja-kerja perubahan perlu dilaksanakan, khususnya dalam meyakinkan rakyat Malaysia untuk keluar daripada kerangka politik kaum dan agama, yang kian kali menanam sifat takut kepada rakyat sendiri. – 6 Mac, 2019.

*Fakhrurrazi Rashid pembaca The Malaysian Insight
 

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen