AHMAD Zahid Hamidi yang berehat daripada tugas presiden Umno sejak Disember lalu boleh kembali bila-bila masa untuk memimpin parti, kata Mohamad Hasan yang kini memikul tugas tersebut.
Katanya, kini terpulang kepada Zahid untuk kembali menjalankan tanggungjawab berkenaan.
“Ini pemilihan parti dibuat oleh ahli parti bukan melalui netizen atau whatsapp. Pemilihan telah dijalankan dan kita ada presiden dan saya timbalan presiden.
“Sekarang presiden berehat sekejap dan saya jalankan tugas presiden.
“Terpulang pada beliau kalau bila rasa nak bersedia nak menjalankan semula tugas. Parti tiada masalah. Semua berjalan dan bergerak dengan (baik),” kata Mohamad.
Mohamad mengambil alih tugas presiden susulan pengumuman Zahid untuk bercuti daripada jawatan tersebut pada Disember lalu.
Beliau ditolak ahli akar umbi pada waktu itu yang mempersoalkan prestasinya, apabila ramai wakil rakyat Umno dan BN keluar parti selepas kalah PRU14.
Pada waktu itu, Zahid juga baru memulakan usaha untuk Umno membentuk kerjasama dengan PAS namun tujuan itu masih belum dapat diyakini akar umbi waktu itu.
Namun hari ini, kerjasama kedua-dua parti itu dapat ditunjukkan dalam keputusan pilihan raya kecil Parlimen Cameron Highlands dan DUN Semenyih yang memihak calon BN.
Mohamad bercakap kepada pemberita hari ini selepas mesyuarat Umno dan PAS yang secara rasmi membentuk jawatankuasa teknikal bagi kerjasama lanjut kedua-dua parti. – 5 Mac, 2019.
Komen