.jpg)
KEPUTUSAN Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei tahun lepas dan keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih beberapa hari lalu, kedua-duanya merupakan referendum rakyat yang dahagakan pembelaan dan jaminan masa hadapan.
Kebangkitan rakyat pelbagai kaum khususnya orang Melayu dan generasi muda adalah suara akar umbi menuntut perubahan dalam kehidupan harian mereka yang selama ini tidak diendahkan oleh kerajaan terdahulu serta seakan masih kabur dalam struktur pentadbiran masa kini.
Meneliti hal ini dengan cermat dan penuh hikmah, kerajaan Pakatan Harapan (PH) sama ada di peringkat persekutuan mahupun di peringkat negeri perlu lebih sensitif dan segera menggarap aspirasi rakyat dengan berani, tegas dan bertanggungjawab.
Gesaan pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohamed Azmin Ali supaya PH segera melaksanakan agenda bumiputera yang merupakan bahagian integral daripada agenda nasional adalah langkah berani yang seharusnya disambut oleh semua pimpinan parti itu tanpa perlu tunduk kepada mana-mana tekanan.
Apatah lagi, gesaan tersebut selaras dengan apa yang dijanjikan dalam manifesto PH.
Justeru, seluruh komponen PH bertanggungjawab memastikan kerajaan hari ini tidak dijangkiti wabak ‘denial syndrome’.
Kita harus bekerja seiring dengan nurani rakyat.
Kita perlu sedar betapa rakyat khususnya orang Melayu dan Bumiputera serta anak muda masih lagi belum merasakan pembelaan dan jaminan untuk masa depan mereka.
Kontradiksi beberapa pandangan di antara pimpinan negara juga wajar dicermati dengan baik agar tidak mendatangkan kekeliruan kepada rakyat.
Ini mewajarkan sebuah ‘command communication centre’ bagi perkongsian informasi dasar dan program baharu kerajaan PH diaktifkan bagi memberi kesegaran maklumat yang absah untuk tatapan umum serta rakyat.
Isu berkaitan pendidikan, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), kos sara hidup, peluang pekerjaan, perumahan mampu milik atau mampu sewa-beli serta soal ruang pembangunan perniagaan atau industri harus diberikan solusi segera dengan mandat yang diberikan melalui kementerian sedia ada.
Maka saya menyeru supaya seluruh kepimpinan PH segera merencanakan pelaksanaan program untuk membantu golongan berpendapatan rendah dan menengah (B40 & M40) yang bersesuaian dengan kementerian masing-masing serta menggubal polisi dan dasar yang dapat mengembalikan keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap PH termasuk dalam kalangan penjawat awam.
Sebuah gagasan wawasan Malaysia Baharu perlu dilakar segera bagi menentukan kompas pentadbiran negara seumpama Wawasan 2020 yang pernah diilhamkan oleh Dr Mahathir Mohamad terdahulu. – 5 Mac, 2019.
*Mohd Nazree Mohd Yunus adalah Naib Ketua AMK Malaysia dan Ahli Majlis Pimpinan Pemuda Pakatan Harapan Malaysia.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen