Polis buru pengguna media sosial hina Islam, Nabi Muhammad


Kalidevi Mogan Kumarappa

Polis masih memburu seorang pengguna Twitter @alvinchow333 yang didakwa mengeluarkan komen jelik terhadap Nabi Muhammad SAW. – Gambar EPA, 5 Mac, 2019.

POLIS masih memburu seorang pengguna Twitter @alvinchow333 yang didakwa mengeluarkan komen jelik terhadap Nabi Muhammad SAW.

Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun berkata, suspek dipercayai berada di Kuala Lumpur dan usaha mengesan suspek kini sedang giat dijalankan.

Lelaki tersebut merupakan antara empat individu yang dikehendaki berhubung kes terbabit, kata Fuzi yang berkata pasukannya menerima 929 laporan.

Pasukan juga membuka 16 kertas siasatan bagi kes menghina agama Islam, Nabi Muhammad serta Saidatina Aisyah, katanya.

“Empat kes terbaru yang membabitkan empat individu sudah diambil tindakan dan tiga daripadanya sudah ditahan,” kata Fuzi dalam kenyataannya.

Tiga lagi yang sudah ditahan adalah pengguna Facebook.

Seorang lelaki yang menggunakan nama Bakakuk ditahan Ahad lalu di Labuan manakala seorang lagi yang menggunakan nama Ayea Yea ditahan di Bau, Sarawak semalam.

Kedua-dua mereka ditahan reman sehingga 7 Mac ini.

Seorang lelaki menggunakan nama Yazid Kong ditahan di Petaling Jaya semalam dan akan direman hari ini.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak menyalahgunakan media sosial atau rangkaian komunikasi dengan menerbitkan provokasi yang menyentuh sensitiviti agama dan perkauman.

“Semua tangkapan disiasat mengikut Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya. – 5 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Usaha pihak Polis mengesan dan mendakwa individun yang menghina Nabi ini adalah usaha yang baik tetapi sesuatu yang sia-sia. Ini kerana akan ada individu yang akan terus menghina Rasullullah saw setiap masa. Kita tahu siapakah orang itu kerana orang Islam tidak akan menghina Nabi mereka. Orang bukan Islam pun bukan suka menghina Nabi ugama orang lain.

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Masfaliza masmuda · Ulasan