PAS guna skrip lapuk Umno


DAHULU PAS yang menentang habis-habisan dan menolak politik perkauman tetapi sekarang ia pula yang mewujudkan api perkauman.

PAS kini tidak ubah seperti Umno yang cuba menggunakan isu kaum untuk menarik undi dengan menakut-nakutkan orang Melayu terhadap DAP supaya mereka tidak mengundi pembangkang.

Dahulu semasa PAS berada dalam Pakatan Rakyat, merekalah yang memanggil Dr Mahathir Mohamad “ultra Melayu” tapi sekarang mereka kata beliau diperkudakan oleh DAP.

Betapa mudahnya seseorang yang dikenali sebagai “ultra Melayu” tapi sekarang ini difitnah sebagai kuda DAP.

Secara logiknya, mana mungkin seseorang yang diperkudakan oleh DAP mampu menjadi pengerusi Pakatan Harapan (PH).

Saya hendak bertanya kepada Pemuda PAS, yang mana satu betul, Dr Mahathir ultra Melayu atau pun kuda DAP?

Walaupun DAP menang semua kerusi yang dipertandingkan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini, mereka tidak akan mampu membentuk sebuah kerajaan persekutuan tanpa parti komponen PH. Ini kerana kerusi yang akan ditandingi DAP tidak banyak.

Bersatu adalah parti pribumi yang memperjuangkan hak-hak orang Melayu Islam tanpa mengenepikan hak kaum lain.

Bukan DAP yang mendominasi PH, kita juga ada PKR dan Amanah yang majoriti ahli mereka adalah Melayu dan Islam.

Kita sepatutnya menggunakan politik sebagai alat perpaduan tetapi sekarang ahli politik yang memecahkan kita.

Kita perlukan pemimpin daripada pelbagai kaum tapi masih ada hasutan-hasutan berunsur perkauman yang dilakukan. Hentikanlah politik perkauman dan bawa politik yang matang.

Lagi PAS gunakan skrip lapuk Umno, lagi jelas kepada rakyat yang satu undi untuk PAS sama dengan satu undi untuk Umno.

Mungkin betul apa yang dikatakan selama ini, PAS selepas zaman Nik Abdul Aziz Nik Mat sudah hilang arah. Sangat sayang sekali. Sangat-sangat sayang sekali. – 7 September, 2017.

* Syed Saddiq Abdul Rahman adalah ketua Pemuda Bersatu.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Apa salah belajar skrip yang mereka nak ambil-alih?

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Bigjoe Lam · Ulasan