.jpg)
FENOMENA “bossku” ini telah menghujani media sosial kebelakangan ini. Tiga perkataan ini, telah menjadi bahan kempen sosial media untuk bekas pengerusi Barisan Nasional yang giat berkempen di pilihan raya kecil dalam strategi menafikan inspirasi Malaysia Baharu sejak 9 Mei. Faktanya, kedua-dua slogan ini terkenal selepas Pilihan Raya Umum ke-14.
Malaysia Baharu merupakan cerita kejayaan rakyat berubah setelah hampir enam dekad di bawah BN. Semangat diterjemahkan dengan pembaharuan institusi awam, menolak amalan rasuah dan salah guna kuasa kerajaan terdahulu.
Berbeza pula dengan “Malu Apa Bossku” , yang diambil bagi membina semula keyakinan kepada seorang pemimpin yang kecundang buat pertama kali dalam sejarah pilihan raya.
“Malu Apa Bossku” menjadi tular di sosial media dan menjadi perhatian rakyat. Kekuatan media alternatif antara faktor slogan ini mendapat pengetahuan rakyat, sehingga membawa ke Korea Selatan. Populariti ini memberi kesan juga kepada aspirasi Malaysia baharu yang dilihat lebih konstruktif, tetapi penyampaian mesej tidak sampai kepada rakyat.
Ramai rakyat Malaysia tidak sedar, 9 Mei telah memberi inspirasi kepada dunia dan negara lain bangkit melakukan perubahan. Nama Malaysia kembali dijulang warga dunia selepas dikaitkan dengan pelbagai skandal rasuah kerajaan terdahulu. Saat Malaysia Baharu ini merupakan kejayaan terbesar Malaysia, berjaya mengubah pemerintahan melalui demokrasi tanpa pertumpahan darah.
Kini, semangat Malaysia baru kian mencabar, “Malu Apa Bossku” pula mendahului ruang awam dan pilihan raya kecil, dengan mengekalkan penguasan kerusi Parlimen Cameron Highland, berjaya merampas Semenyih daripada Pakatan Harapan buat pertama kali selepas PRU14.
Penganalisa menyatakan “Malu Apa Bossku” merupakan kumpulan suara anak muda dan golongan berpendapatan rendah Melayu yang tidak diendahkan kerajaan baharu. Realiti ini nampaknya benar, ada pulangan keuntungan kepada rakyat.
Penjual t-shirt di Semenyih untung RM 5,000 sehari menjual t-shirt “Malu Apa Bossku”. Ia mengubah kehidupan mereka yang selalu tutup kedai awal. SPR tidak menghalang pengundi memakai t-shirt dengan slogan di atas ke tempat mengundi berbanding baju PH.
“Malu Apa Bossku” bukanlah satu perkara yang terancang, tetapi populariti slogan ini boleh menggugat inspirasi Malaysia Baharu. Lebih malang lagi apabila golongan progresif, sering mentertawakan mereka yang terpengaruh dengan pembawakan Najib Razak, tetapi tidak melakukan apa-apa untuk menangkis neratif ini.
Mereka lupa, puak pogresif Amerika Syarikat pernah mentertawakan hasrat Donald Trump menjadi presiden. Atas sikap hodoh puak pogresif itu, mereka hari ini dibawah Trump yang menjadi presiden atas undi rakyat. Dunia kini ketawakan Amerika Syarikat, mempunyai presiden yang mahu membina tembok, tetapi lupa menyatukan rakyat negaranya.
Jika kita gagal mengambil iktibar cerita Trump ini, maka tidak hairanlah seorang pemimpin yang digelar Malaysia Offical One (MO1) oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) dimaafkan dan diangkat semula memerintah negara. Semuanya akibat kejanggalan pemikiran mereka yang dikatakan “kehadapan”. Ketawa tidak akan membantu mereka untuk melihat perubahan itu baik, tetapi lebih menjauhkan mereka daripada perubahan.
BN dan Umno sebenarnya ketandusan idea dalam mencipta slogan gah dan jelas bagi kempen mereka. Walaupun mereka telah berjaya merampas kerusi DUN Semenyih, namun pendekatan mereka telah melahirkan golongan yang fanatik kanan, yang hanya tertumpu kepada satu agenda kaum dan tidak melibatkan semua pihak berbilang bangsa. MCA dan MIC pun turut dipinggirkan.
Perkara ini merupakan petanda bahawa Umno, mahupun PAS sekalipun, tidak mempunyai matlamat dan jelas untuk membawa perubahan buat negara.
Selepas ini, golongan dan pemimpin progresif dalam Umno dan PAS juga bakal tenggelam. Daripada membincangkan isu-isu dasar kerajaan, mereka kini lebih selesa menyerang PH dengan mengaitkan kegagalan melaksanakan janji.
Lebih malang lagi apabila mereka yang dahulu menolak kerjasama dengan PAS, kini memandangnya sebagai peluang untuk naik semula. Ada juga yang dulu mengkritik bekas “boss” sebagai masalah buat parti, tetapi kini menerimanya balik. Semua penangan “Malu Apa Bossku”!
Ketika rakyat Malaysia bersama-sama membangunkan negara tercinta dalam era Malaysia baharu, mereka pula ingin memecahkan perpaduan rakyat, menyatukan kelompok penyokong mereka dengan slogan yang dicuri daripada rakyat, “Malu Apa Bossku”.
Adakah ini menunjukkan BN dan Umno akan menggunakan slogan “Malu Apa Bossku” untuk persiapan menjelang PRU 15?
Perlu kita sedar bahawa “Politics is about numbers”. Tidak mustahil slogan ini digunakan jika ia mampu meningkatkan jumlah undi BN dan PAS. Tetapi, apakah visi dan misi masa depan negara BN dan Najib dalam “Malu Apa Bossku”?
Kedudukan terkini selepas PRK 2019: “Malu Apa Bossku” mendahului dengan (2 kerusi) vs Malaysia Baharu (0 kerusi). Bagaimana pun perlawanan PRK DUN Rantau amat menarik, sama ada “Malu Apa Bossku” boleh mencipta kerusi “hatrik’” atau PH kembali dengan satu kerusi. – 5 Mac, 2019.
*Fakhrurrazi Rashid adalah pembaca The Malaysian Insight
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen