Agenda Melayu: DAP mahu khianat?


EKORAN kekalahan calon Bersatu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih, Pengerusi Bersatu Negeri Sembilan Dr Rais Yatim, mengeluarkan kenyataan bahawa Pakatan Harapan (PH) perlu melunakkan apa-apa imej DAP kerana orang Melayu di Semenyih enggan menerima hakikat tindak tanduk melulu DAP.

Timbalan Presiden PKR merangkap Naib Presiden Pakatan Harapan Mohamed Azmin Ali, pula mengeluarkan kenyataan bahawa:

1. PH perlu meningkatkan usaha untuk menjadi ‘pilihan’ bagi orang Melayu.

2. PH harus berani dan tidak gundah-gulana untuk segera melaksanakan janji-janji khususnya kepada masyarakat Melayu dan Bumiputera yang merupakan bagian integral daripada agenda nasional. 

3. Pakatan akan melaksanakan janji-janji kepada masyarakat Melayu dan Bumiputera tanpa rasa apologetik atau bimbang terhadap kritikan luar,” katanya.

Seperti dijangkakan, kenyataan Mohamed Azmin ini terus sahaja menerima kritikan luar bila Presiden Gerakan Dr Dominic Lau Hoe Chai, yang; 

1. Menyebut adalah satu perkembangan yang membimbangkan dan pencabulan ke atas komitmen PH terhadap reformasi jika ia mengguna pakai dasar-dasar perkauman.

2. Menanya sama ada pengutamaan Bumiputera ini adalah agenda peribadi Mohamed Azmin atau konsensus semua pemimpin Pakatan Harapan.

3. Mendesak pemimpin DAP supaya bangkit menentang sebarang agenda atau dasar perkauman.

Selari dengan desakan Dr Dominic Lau, dan bercanggah dengan harapan Dr Rais dan Mohamed Azmin, Ahli Jawatankuasa Tertinggi DAP Pusat merangkap Setiausaha DAP Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew, terus sahaja mengkritik seruan untuk menjadikan Pakatan Harapan lebih keMelayuan dengan;

1. Menyebut pengutamaan Melayu adalah satu pendekatan politik yang bercanggah dengan semua perkara yang diperjuangkan oleh PH.

2. Mencadang supaya Pakatan fokus kepada satu agenda Malaysia dan bukannya kepada satu agenda ethnocentric (berteraskan bangsa).

3. Menanya bukankah lebih bagus untuk memajukan keseluruhan masyarakat berbanding hanya segmen tertentu daripadanya sahaja.

Selaku pengkaji tegar yang telah berpuluh-puluh kali membaca kandungan Manifesto Pakatan Harapan dalam PRU14, sukalah saya mengingatkan Dr Dominic Lau dan Ronnie Liu bahawa:

1.  Agenda Melayu dan Bumiputera yang disebut oleh Mohamed Azmin bukanlah agenda peribadi Mohamed Azmin seperti yang didakwa oleh Dr Dominic Lau tetapi adalah konsensus semua pemimpin PH.

3. Agenda Melayu dan Bumiputera yang disebut oleh Mohamed Azmin bukanlah satu pendekatan politik yang bercanggah dengan semua perkara yang diperjuangkan oleh PH seperti yang didakwa oleh Ronnie Liu tetapi sebenarnya adalah sebahagian daripada perjuangan PH.

Ini kerana jelas terkandung di dalam Manifesto Pakatan Harapan istilah “agenda memartabatkan maruah bangsa Melayu dan Islam” di mana manifesto ini di antara lainnya mengandungi janji-janji bahawa:

1. Kerajaan PH akan memberi lebih banyak penumpuan kepada pembangunan ekonomi orang Melayu dan Bumiputera.

2. Kerajaan PH akan mengira secara tuntas dan menerbitkan kepada umum jumlah pegangan ekuiti Melayu dan Bumiputera terkini.

3. GLC akan diarahkan mendepani usaha mempertingkat pemilikan Bumiputera dalam ekonomi negara. 

4. Kedudukan ekonomi Melayu akan dibentangkan dalam ucapan belanjawan setiap tahun.

5. Prestasi dan pencapaian agenda memartabatkan maruah bangsa Melayu dan Islam akan dibentangkan dan dibahaskan di Parlimen setiap tahun.

Tidak mahu melaksanakan agenda Melayu dan Bumiputera seperti yang diisytiharkan oleh Ronnie Liu inilah yang sebenarnya merupakan satu penyimpangan yang sangat besar kepada perjuangan Pakatan Harapan, bukannya mahu melaksanakan agenda Melayu dan Bumiputera seperti yang dicadangkan oleh Mohamed Azmin.

Sikap dan pendirian yang ditunjukkan oleh pemimpin tinggi DAP seperti Ronnie Liu yang masih mahu menidakkan perkara-perkara asas seperti perlaksanaan agenda Melayu dan Bumiputera yang dijanjikan oleh Manifesto Pakatan Harapan inilah yang menjadi punca mengapa ramai orang Melayu dan Bumiputera yang putus harapan dengan PH.

Sangat tidak logik jika pemimpin tinggi DAP seperti Ronnie Liu mahu menyatakan bahawa DAP tidak sedar mengenai janji perlaksanaan agenda Melayu dan Bumiputera yang terdapat di dalam Manifesto Pakatan Harapan ini kerana pemimpin DAP, iaitu Dr Ong Kian Ming, sendiri adalah wakil DAP yang terlibat merangka Manifesto Pakatan Harapan ini.

Berdasarkan kepada persoalan yang ditimbulkan oleh Ronnie Liu inilah maka ramai orang Melayu dan Bumiputera mahu meletakkan harapan kepada Pakatan Harapan jika perkara-perkara asas seperti perlaksanaan agenda Melayu dan Bumiputera yang terkandung di dalam manifestonya sendiri pun masih cuba mahu ditidakkan oleh pemimpin tinggi DAP.

Selagi pemimpin-pemimpin DAP masih menampakkan kesensitifan mereka dengan istilah ‘Melayu’ maka selagi itulah DAP akan kelihatan sukar untuk dilunakkan. – 4 Mac, 2019.

*Dr Kamarul Zaman Yusoff adalah pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM)*

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen