Malaysia perlu dahului teknologi kereta terbang, kata timbalan menteri


Mohd Farhan Darwis

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan Dr Hatta Ramli mengulas mengenai pengumanan menterinya Redzuan Md Yusof mengenai prototaip kereta terbang dijangka siap seawal Jun tahun ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Mac, 2019.

MALAYSIA perlu mendahului negara lain dalam pembangunan kereta terbang, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan Dr Hatta Ramli.

Beliau mempertahankan rancangan disuarakan menterinya Redzuan Md Yusof itu, yang kini menimbulkan pelbagai reaksi masyarakat.

Ketika ditanya, Hatta berkata walaupun banyak kritikan timbul Malaysia harus mendahului dalam bidang tersebut walaupun cadangannya kelihatan luar biasa.

“Saya seronok dalam isu kereta terbang ini ia menimbulkan keterujaan rakyat. Ada (yang) kata belum masanya.

“Tapi bagi saya kita di Malaysia harus dahului negara lain dalam perkara tidak biasa bagi kita, termasuk kereta terbang ini,” katanya.

Jelasnya, kementerian sudahpun menetapkan sasaran tertentu bagi penggunaan teknologi tersebut.

“Bukan untuk kita guna secara harian. Ada sasaran kita,” katanya, kepada pemberita selepas satu majlis ramah mesra dengan usahawan India di Petaling Jaya.

Sementara itu ketua setiausaha kementeriannya Wan Suraya Wan Mohd Radzi pula menjelaskan, pembangunan kereta terbang itu disasarkan untuk teknologi pesawat tanpa pemandu.

“Menteri akan maklum lebih lanjut, apa yang kita sedang sasarkan adalah teknologi UAV, industri drone, yang merupakan sebahagian daripada sektor aeroangkasa,” katanya.

Jelasnya lagi, kaitan kementeriannya dalam projek itu adalah dalam pembangunan syarikat tempatan yang berkepakaran.

“Macam yang sedang diperkatakan ada syarikat tempatan ada kepakaran, yang penting kita nak iktiraf syarikat seperi ini,” katanya lagi yang ditemui di program sama.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Mohd Redzuan Md Yusof berkata penggunaan kereta terbang itu dibangunkan adalah untuk kegunaan industri seperti pertanian serta pengangkutan awam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Mac, 2019.

Ia menjawab kenyataan Redzuan pada Sabtu lalu yang mengumumkan prototaip kereta terbang dijangka siap seawal Jun tahun ini.

Menurutnya kos penghasilan prototaip itu tidak melebihi RM1 juta dan akan dibiayai oleh pihak swasta.

Katanya, penggunaan kereta terbang itu dibangunkan adalah untuk kegunaan industri seperti pertanian serta pengangkutan awam.

Beliau berkata bagi industri pertanian, ia boleh digunakan untuk memantau ladang-ladang selain turut digunakan untuk menjaga keselamatan di sempadan negara.

Redzuan juga dilaporkan sebagai berkata kereta terbang itu sesuai untuk digunakan untuk perkhidmatan pengangkutan e-hailing.

Industri kereta terbang itu dianggarkan bernilai AS$2.9 trilion dalam masa 20 tahun, menurut jangkaan penganalisis firma pelaburan Morgan Stanley, lapor Bloomberg.

Antara peneraju industri yang dilaporkan memulakan usaha membangunkan teknologi tersebut tersebut Zephyr Airworks, Uber Technologies Inc, Boeing Co dan Airbus SE.

Rancangan yang disebut Redzuan itu bagaimanapun mencetuskan pelbagai reaksi dan kritikan, termasuk dari pemimpin pembangkang yang menjadikannya sebagai bahan jenaka.

Antaranya, ahli Parlimen Umno Ahmad Maslan yang berkata kerajaan sepatutnya membina basikal terbang supaya pengguna boleh menaikinya untuk mengelak daripada melalui jalan bertol.

Seorang penyokong kuat bekas perdana menteri Najib Razak pula menyifatkan projek itu tersasar dari isu yang patut ditumpu kerajaan seperti kenaikan kos sara hidup.

“Serah kepada saintis dan jurutera berkenaan isu ini dahulu. Ia bukannya satu isu dasar awam yang kritikal pada masa sekarang,” kata Hizatul Isham Jalil, bekas penasihat khas Najib. – 4 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen