Terpulang pada MCA, MIC untuk keluar, kata Nazri 


Khoo Gek San

Setiausaha Agung BN Mohamed Nazri Aziz berkata kedua-dua parti itu bebas untuk tinggalkan gabungan yang tewas buat pertama kalinya pada pilihan raya umum.– Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Mac, 2019

BARISAN Nasional tidak akan rugi apa-apa jika MCA dan MIC meninggalkan gabungan itu, kata Setiausaha Agung BN Mohamed Nazri Aziz.

Beliau berkata, kedua-dua parti itu bebas untuk tinggalkan gabungan yang tewas buat pertama kalinya pada pilihan raya umum.

“Mereka bebas untuk cari pakatan baharu dan meneruskannya dengan parti lain yang tinggalkan Barisan selepas Pilihan Raya Umum ke14.

“Saya tidak fikir ia satu kerugian,” katanya kepada The Malaysian Insight, hari ini.

Beliau mengulas kepada kenyataan bersama MCA dan MIC yang mereka tiada pilihan lain selain keluar daripada BN dan mencari pakatan baharu bagi mencerminkan maksud sebenar perpaduan.

Dalam kenyataan itu, mereka turut menyifatkan pelantikan Nazri sebagai setiausaha agung BN sebagai tidak sah dan tidak diiktiraf oleh MCA dan MIC.

Dua parti berkenaan turut membidas kenyataan yang didakwa berunsur perkauman oleh Nazri di Semenyih, yang mana menurut mereka ia merosakkan ikatan antara tiga parti.

Nazri berkata, beliau dilantik untuk memegang jawatan itu ooleh pengerusi gabungan, yang juga presiden Umno.

Tambah Nazri, BN sedia bekerjasama dengan PAS, Kongres India Muslim Malaysia (Kimma), Makkal Sakti dan pihak lain yang berkongsikan pandangan yang sama dengan gabungan itu.

“Kami juga mempunyai keahlian langsung bagi mereka yang berminat untuk menyokong kami. Mereka tidak perlu menjadi ahli Umno misalnya, tetapi mereka masih dapat menyokong kami.

“Tiada sebarang masalah,” katanya.

Kenyataan bersama MCA-MIC hari ini adalah susulan daripada pengesahan oleh Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan bahawa parti Islam dan Umno akan mengadakan pertemuan pada Khamis untuk membincangkan cara bagi memformalkan hubungan kerja mereka dalam pakatan Melayu-Islam yang baru.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan kedua-dua pihak menggunakan simbol biasa dalam pilihan raya umum akan datang.

Nazri turut menyatakan calon Umno memenangi pilihan raya kecil Semenyih tanpa sokongan daripada MCA dan MIC, tetapi dengan bantuan PAS.

“Sama juga dengan pilihan raya kecil Rantau, kita tidak perlukan sokongan MIC. Mereka tidak mewakili masyarakat India. Ada orang lain yang boleh lakukan tugas itu seperti Kimma, IPF dan Makkal Sakti.

“MCA juga tidak mewakili masyarakat Cina kerana DAP mewakili masyarakat itu.

“Biar mereka jadi NGO. Mereka bukan lagi parti politik,” katanya.

Beliau berkata, MCA dan MIC perlu mencari pakatan baharu kerana Umno akan bekerjasama dengan PAS pada pilihan raya kecil Rantau dan pilihan raya umum akan datang.

“Pada dua pilihan raya kecil sebelum ini, Umno bekerjasama dengan PAS dan kita menang, jadi MIC dan MCA tidak penting.”

Beliau juga berkata mesyuarat majlis tertinggi BN akan diadakan bagi mendapatkan pengesahan daripada pemangku pengerusi BN Mohamad Hasan.– 4 Mac, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen