Kes dana RM90 juta, pengerusi KTMB ke SPRM


Kalidevi Mogan Kumarappa

Nama Rameli muncul apabila disebut oleh bekas ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli sebagai individu yang didakwa bertanggungjawab membuat bayaran kepada blog Sarawak Report. – Gambar KTMB, 5 Mac, 2019.

PENGERUSI KTMB Rameli Musa dipanggil untuk siasatan agensi antirasuah berhubung kes dana RM90 juta yang didakwa disalurkan kepada PAS daripada Umno

Sumber tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan Rameli dipanggil untuk disiasat jam 10 pagi.

Selain Rameli, suruhanjaya itu juga dijangka memanggil dua orang yang lain untuk siasatan pagi ini – seorang bekas exco Selangor dari PAS dan seorang kakitangan ibu pejabat parti itu.

Nama Rameli disebut oleh bekas ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli sebagai individu yang didakwa bertanggungjawab membuat bayaran kepada blog Sarawak Report.

Bayaran itu didakwa untuk khidmat guaman bagi penyelesaian luar mahkamah dalam kes saman presiden PAS Abdul Hadi Awang terhadap editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown.

The Malaysian Insight masih berusaha mendapatkan penjelasan Rameli berhubung tuduhan berkenaan, melalui panggilan telefon dan pesanan WhatsApp.

Rameli yang dilantik sebagai pengerusi KTMB pada Februari lalu merupakan bekas naib pengerusi Ingress Corp Bhd dan bekas pengerusi Balfour Beatty Rail.

Rameli juga pernah menganggotai lembaga pengarah Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan selama beberapa tahun semasa allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat menjadi menteri besar.

Menurut satu tulisan penulis politik Mohd Sayuti Omar, Rameli juga pernah menyertai lawatan Hadi ke Bangkok, Thailand pada 2017.

Siasatan itu kini antara lain membawa SPRM kepada lima orang pemimpin kanan PAS dan dua orang bekas pemimpin kanan parti tersebut.

Minggu lalu, SPRM menyiasat Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin dan Ahli Exco PAS Mohamed Nasir Che Daud.

Sebelum itu, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan disiasat mengenai dakwaan beliau memiliki beberapa kereta dan motosikal mewah selain nombor pendaftaran kenderaan yang eksklusif.

Pada 8 Februari lalu, penyiasat anti rasuah merakam keterangan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Nik Abduh merupakan individu yang dikenalpasti bercakap dalam satu rakaman suara mengenai Umno membayar dana kepada PAS.

Bekas timbalan presiden Nasharudin Mat Isa disiasat pada hari sama, 8 Februari manakala bekas naib presiden PAS Husam Musa yang kini naib presiden Amanah, disiasat dua minggu kemudian.

Siasatan itu dimulakan SPRM susulan laporan polis oleh orang awam selepas Hadi menarik balik saman ke atas pengarang Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown berhubung tuduhan berkenaan.

Awal bulan lalu, Hadi dan Rewcastle-Brown menyelesaikan saman masing-masing di luar mahkamah London namun artikel 6 Ogos, 2016 berhubung tuduhan PAS menerima wang itu kekal di portal Sarawak Report.

Artikel lapan perenggan itu mendakwa RM90 juta dimasukkan ke dalam akaun pimpinan tertinggi PAS bagi mempengaruhi parti tersebut supaya menyokong Umno dan Barisan Nasional. – 5 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen