SPRM masih siasat kes terowong dasar laut RM6.3 bilion


Kalidevi Mogan Kumarappa

Pada Mac 2018, SPRM bertindak menahan dua ahli perniagaan kerana dipercayai menerima RM3 juta bagi menutup kes siasatan projek mega bernilai RM6.3 bilion itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Mac, 2019.

SIASATAN diteruskan ke atas empat daripada enam kertas siasatan yang dibuka ke atas projek terowong dasar laut di Pulau Pinang, kata penyiasat antirasuah.

Menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), empat kertas siasatan itu termasuk satu yang masih disiasat dan tiga yang dikembalikan untuk melengkapkan siasatan.

“Dua lagi masih dalam kajian timbalan pendakwa raya,” kata SPRM yang menjelaskan, kertas siasatan pertama dibuka pada Julai 2017 manakala lima lagi pada Januari 2018.

Pada Mac 2018, SPRM bertindak menahan dua ahli perniagaan kerana dipercayai menerima RM3 juta bagi menutup kes siasatan projek mega bernilai RM6.3 bilion itu.

Sa;lah seorangnya yang bergelar Datuk Seri didakwa menerima suapan RM19 juta daripada syarikat pembinaan utama projek selepas dikatakan mampu menyelesaikan siasatan dilakukan SPRM.

Seorang lagi yang bergelar Datuk didakwa meminta RM4 Juta sebagai habuan bagi menutup kes yang dalam siasatan SPRM itu.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng ketika menjadi ketua menteri Pulau Pinang pada waktu itu menegaskan projek berkenaan dianugerahkan melalui tender terbuka kepda Consortium Zenith BUCG Sdn Bhd.

Beliau turut mengemukakan saman ke atas Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan kerana mendakwa sebaliknya.

Susulan itu, Nasrudin menyuarakan kekesalan dan membayar ganti rugi kepada Lim sebanyak RM10,000.

Dakwaan mengenai rasuah dalam kes terowong dasar laut itu pada awalnya dibangkitkan penulis blog yang kini melarikan diri ke luar negara, Raja Petra Kamarudin. – 4 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen