Mahkamah tangguh permohonan kuil gantung sementara inkues Adib


Timothy Achariam

Peguam jawatankuasa bertindak kuil Seafield Sri Maha Mariamman, M. Visvanathan berkata langkah Syazlin memfailkan afidavit sebagai pihak yang berkepentingan tidak pernah dilakukan sebelum ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Mac, 2019.

MAHKAMAH Rayuan Putrajaya hari ini menangguhkan pendengaran permohonan menggantung sementara prosiding inkues kes kematian Mohamad Adib Kassim yang dikemukakan oleh jawatankuasa bertindak kuil Seafield Sri Maha Mariamman.

Pendengaran permohonan itu ditangguhkan sehingga diberitahu oleh mahkamah.

Mahkamah rayuan menangguhkan prosiding itu untuk membolehkan jawatankuasa bertindak kuil itu membalas dua afidavit yang menyokong pendirian Jabatan Peguam Negara yang membantah jawatankuasa bertindak kuil itu sebagai pihak  berkepentingan dalam inkues.

Dua afidavit difailkan oleh peguam keluarga Adib Kamarulzaman A. Wahab dan peguam Syazlin Mansor yang mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Jabatan Bomba dan Penyelamat sebagai pihak yang berkepentingan dalam inkues.

Peguam jawatankuasa kuil itu, M. Visvanathan berkata langkah Syazlin memfailkan afidavit sebagai pihak yang berkepentingan tidak pernah dilakukan sebelum ini.

“Beliau (Syazlin) hanya pihak yang mahu menjadi berkepentingan dalam kes itu. Tindakannya membingungkan dan tidak pernah berlaku sebelum ini apabila sebuah pihak berkepentingan membantah satu lagi pihak berkepentingan dalam inkues,” katanya.

“Kes ini merupakan satu siasatan, pihak-pihak berkepentingan tidak boleh menentukan pihak berkepentingan yang lain.”

 Visvanathan turut mempersoalkan menteri perumahan dan kerajaan tempatan untuk mengumumkan sebab kementeriannya cuba menghalang jawatankuasa bertindak kuil untuk terlibat dalam inkues.

“Kerajaan harus bertanggungjawab dan menjelaskan mengapa mereka memfailkan afidavit. Mengapa mereka memfailkan afidavit itu? Mereka perlu menjelaskannya, “katanya.

“Afidavit itu antara kami dan Pejabat Peguam Negara, kenapa kementerian tersebut terlibat sama?” – 4 Mac, 2019.

Berita penuh di sini.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen