Kenyataan angkuh pemimpin kerajaan punca hilang undi, kata penganalisis


SM Amin

Pengundi di Semenyih berkata mereka tidak melihat Pakatan Harapan melakukan perubahan dan tidak mendengar masalah sebenar yang disuarakan rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Mac, 2019.

KEGAGALAN Pakatan Harapan (PH) memenuhi janji dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU140 merupakan antara faktor utama yang membuatkan Barisan Nasional (BN) merampas semula kerusi tersebut Sabtu lalu.

Kalangan pengundi yang ditemui The Malaysian Insight berkata mereka tidak melihat PH melakukan perubahan dan tidak mendengar masalah sebenar yang disuarakan rakyat.

Ravichandran Munusamy, 36, berkata beliau tidak melihat pemimpin parti PH turun padang untuk meneliti masalah bekalan air yang dihadapinya. 

“Banyak janji manifesto tidak ditunaikan. Kerajaan yang ada saya nampak tidak melakukan sesuatu yang lebih daripada kerajaan sebelum ini. Kerajaan kena pentingkan rakyat.

“Saya tidak pernah nampak orang PKR semua turun selepas menang dahulu. BN dahulu mereka turun, dengar isu-isu yang ada di sini, masalah air,” katanya dengan kecewa.

Lebih mengecewakan lagi kata Ravichandran, kerajaan membatalkan banyak projek terutamanya melibatkan pengangkutan awam yang benar-benar dimahukan oleh rakyat.

“Kita rakyat pentingkan pengangkutan awam, tetapi kerajaan batalkan. Kerajaan kata hutang banyak tetapi kerajaan kena fikirlah macam mana hendak buat,” ujarnya.

Terdapat juga pengundi yang memilihi BN kali ini kerana memprotes dasar baharu yang diperkenalkan kerajaan seperti larangan merokok di kedai makan.

Rosmaidi Kamarudin berpendapat, peraturan baharu yang diperkenalkan itu melampau dan amalan merokok di kedai makan itu tidak sepatutnya diambil peduli oleh kerajaan.

“Masalah rokok ini tidak sepatutnya kerajaan campur. Kita masing-masing dalam kehidupan kita, pergi ke kedai, minum dengan kawan-kawan menyembang, mesti hendak hisap rokok,” katanya. 

Seorang lagi pengundi Maizan Ahmad, 57, berpendapat kerajaan sepatutnya menawarkan perubahan lebih besar untuk membantu dan menaiktaraf kehidupan rakyat.

Beliau melihat PH gagal memainkan peranan sebagai kerajaan dan mengabaikan rakyat di bawah sehingga mereka mereka merasakan telah hilang tempat untuk bergantung harap.

Ia berbeza dengan sikap wakil rakyat BN terdahulu, Johan Abd Aziz yang menurutnya sering turun padang menemui warga Semenyih.

“(Adun sebelum ini) Johan dahulu selalu datang sini, tanya khabar. Tidak boleh selesaikan pun kita nampak dia ada usaha. PH ini nak nampak datang sini pun susah. Kita tidak nampak orang yang kita boleh bergantung.

“Bila minta bantuan dana, cakap pemerintah dahulu berhutang, tidak boleh hendak bantu, asyik ulang cerita yang sama. 

“Bila sudah memerintah, jangan salahkan orang. Kena cari ikhtiar teruskan perjuangan. Dahulu kita sudah lantik PH,” kata Maizan.

Beliau yang sudah menetap selama 30 tahun di Bandar Tasik Kesuma Beranang kecewa kerana peruntukan untuk kemudahan asas seperti surau juga tidak dapat dipenuhi oleh wakil rakyat PH.

“Ini kita minta bantuan RM500 untuk surau, untuk kegunaan orang ramai pun dah macam mengemis. Bagi RM200 pun kita terima tetapi ini tidak bagi langsung,” kata Maizan.

Sementara itu, penganalisis politik Abdul Halim Sidek berpendapat kekalahan di Semenyih pada Sabtu lalu berpunca daripada kegagalan PH menjawab pelbagai persoalan yang diutarakan oleh rakyat.

Selain itu, kenyataan angkuh pemimpin kerajaan juga menyumbang kepada kehilangan undi, kata penganalisis politik dan perundangan Universiti Malaysia Kelantan itu.

Ini boleh dilihat melalui pelaksanaan dasar seperti larangan merokok di tempat awam dan dasar untuk tidak lagi menawarkan diskaun saman, katanya.

“Kerajaan PH mesti bertindak secara rasional terhadap isu-isu dibangkitkan. Jangan lagi berlagak angkuh dan sombong setelah menang Putrajaya,” kata Halim.

Tambahnya, PH juga perlu menangani isu membabitkan sensitiviti orang Islam dan Melayu untuk terus diberi kepercayaan pengundi.

PRK Semenyih menyaksikan BN berjaya merampas semula kerusi tersebut dengan majoriti 1,914 menewaskan PH yang hanya meraih 17,866 undi.

Nik Aziz Afiq Abdul mewakili Parti Sosialis Malaysia memperoleh 847 undi manakala calon bebas Kuan Chee Hong 725.

Kerusi itu dirampas PH dalam PRU14 dengan majoriti lebih besar hampur 9,000 undi. – 4 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen