Isteri Nazrin Hassan, anak tiri ditahan polis


Alfian Z.M. Tahir Kalidevi Mogan Kumarappa

CEO Cradle Fund Sdn Bhd, Nazrin Hassan ditemui maut dalam kebakaran di kediamannya pada Jun tahun lepas yang kemudiannya diklasifikasikan sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Mac, 2019.

ISTERI kepada Allahyarham Nazrin Hassan, Samira Muzaffar bersama dua anak ditahan polis pagi ini berhubung kematian CEO Cradle Fund Sdn Bhd itu.

Menurut polis, individu berkenaan akan didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh.

Seorang lagi yang masih bebas juga akan didakwa mengikut pertuduhan sama, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Fadzil Ahmat.

Individu berkenaan dipercayai pembantu rumah kepada keluarga tersebut.

Nazrin meninggal dunia di rumahnya di Petaling Jaya pada 14 Jun lalu. Allahyarham pada awalnya didakwa maut akibat kebakaran selepas telefon bimbit dalam biliknya meletup.

Dua bulan kemudian, polis mengklasifikasikan kes itu sebagai kes bunuh selepas siasatan bomba mendapati ada kesan petrol di tempat kejadian.

Pada 8 Oktober lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan kubur Allahyarham digali semula supaya bedah siasat kedua dapat dijalankan bagi mencari bukti baharu berhubung kematiannya.

Laporan penuh bedah siasat kali kedua itu dihantar kepada Pejabat Peguam Negara untuk rujukan dan tindakan lanjut pada 22 Februari lalu.

Minggu lepas bedah siasat kedua mendedahkan Nazrin meninggal dunia akibat beberapa kecederaan di kepala. – 4 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen