Pakatan perlu henti salahkan orang, beri tumpuan kepada isu, kata penganalisis


Timothy Achariam

Pakatan Harapan perlu menunjukkan bagaimana pimpinannya berdepan dengan isu ekonomi dan isu-isu lain yang memberi kesan kepada rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Mac, 2019.

PAKATAN Harapan (PH) perlu menganggap kekalahan mereka dalam Pilihan Raya Kecil Semenyih semalam sebagai satu bentuk bantahan serius oleh pengundi yang tidak berpuas hati ekoran kegagalan gabungan pemerintah dalam menangani kebimbangan rakyat berhubung hak dan ekonomi mereka, kata penganalisis.

“Ini adalah satu tanda untuk mereka sedar semula, mereka perlu ambil serius hal ini. Mereka gagal memimpin negara (setakat ini), sebaliknya mereka hanya ungkap apa yang pernah dilakukan kerajaan sebelum ini,” kata penganalisis politik Dr Jeniri Amir dari Universiti Malaysia Sarawak.

“Cukup-cukuplah, mereka sudah berkuasa selama 10 bulan; mereka harus beri tumpuan kepada rakyat dan tidak menuding jari (ke arah pihak lain). “

Jeniri berkata Putrajaya sepatutnya berhenti membangkitkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dan sepatutnya menunjukkan bagaimana pimpinannya berdepan dengan isu ekonomi dan isu-isu lain yang memberi kesan kepada rakyat.

“Lupakan 1MDB dan bergerak ke hadapan,” ujar Jeniri.

Beliau turut menambah, salah satu sebab utama kekalahan PH adalah kerana Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad tidak menumpukan perhatian kepada isu-isu yang mempengaruhi orang Melayu di negara ini dan juga isu tempatan di Semenyih.

“Mahathir sepatutnya tumpu untuk tangani masalah di lapangan terutama pengundi Melayu dan Muslim di sana. Mereka tidak tangani masalah orang Melayu di sana dan juga masalah Melayu dalam negara,” katanya.

Penganalisis politik Profesor James Chin berkata bahawa Semenyih menandakan kekalahan kedua parti pemerintah selepas Cameron Highlands pada bulan Januari, dan hal ini memberi isyarat bahawa ia telah kehilangan undi Melayu.

“Ini masalah besar bagi PH dan Bersatu, mereka nampaknya telah kehilangan undi Melayu,” kata Chin.

“Ini juga merupakan tanda bahawa pakatan Umno-PAS yang menggunakan Islam dan hak-hak Melayu kelihatan berguna. PAS dan Umno pada dasarnya menjual idea bahawa orang Melayu tidak lagi berkuasa dan pengundi Melayu nampaknya bersetuju,” katanya.

Beliau berkata jika PH kalah dalam pilihan raya kecil yang akan datang di Rantau, Negeri Sembilan, maka ketua-ketua dalam kabinet perlu perlu berundur.

“Jika mereka kalah di Rantau, langkah drastik perlu diambil, termasuk rombakan kabinet,”

“Kabinet PH pada waktu ini tidak berfungsi dengan betul, mereka tidak boleh kalah di Rantau,” kata Chin.

Gesaan untuk rombakan kabinet disuarakan ramai orang ekoran mendapati menteri-menteri Pakatan Harapan belum mampu berfungsi dengan baik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Mac, 2019.

Penganalisis politik bebas Khoo Kay Peng juga berkata bahawa PH gagal menangani isu sosio ekonomi kelas rendah dan menengah.

Beliau mengatakan bahawa mereka tidak mengotakan janji-janji yang dibuat kepada penyokong utama mereka.

“Rakyat harap subsidi diteruskan. Harga petrol antaranya, mereka awal-awal mengatakan bahawa harganya akan ditetapkan, sekarang mereka apungkan pula, ini adalah salah satu daripada janji-janji yang tidak dikotakan oleh mereka,” kata Khoo.

Beliau juga berkata ulasan Dr Mahathir mengenai kekalahan di Semenyih adalah berpunca daripada penggunaan sentimen keagamaan sebenarnya adalah satu tindakan menafikan realiti bahawa PH tidak mendapat sokongan daripada pengundi.

“Mereka buat hal yang sama dalam semua pilihan raya (dengan memainkan sentimen perkauman). Ia memang akan begitu. (Jadi,) ini adalah satu  penafian dari sudut pandang Mahathir,” katanya.

Dalam pilihan raya kecil semalam, calon BN Zakaria Hanafi memenangi pertandingan empat penjuru dengan memperolehi majoriti sebanyak 1,914 undi bagi merampas kerusi DUN Semenyih, menewaskan calon PH, Muhammad Aiman ​​Zainali.

Pilihan raya kecil itu dilaksanakan susulan kematian Adun sebelum ini daripada PH, Mohd Bakhtiar Mohd Nor, akibat serangan jantung pada 11 Januari. – 3 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen