Mahkamah India benarkan mangsa rogol berusia 13 tahun gugurkan kandungan


Serangan seksual ke atas kanak-kanak dan wanita menjadi isu hangat di India dan timbul desakan pelbagai pihak supaya kerajaan mengambil tindakan lebih tegas mengekang jenayah itu. – Gambar AFP, 6 September, 2017.

MAHKAMAH AGUNG India membenarkan seorang mangsa rogol berusia 13 tahun melakukan pengguguran walaupun sudah melepasi tempoh yang dibenarkan selepas peguam berhujah menghalang gadis itu menggugurkan kandungan boleh menyebabkan trauma dahsyat kepada mangsa.

Gadis itu yang mengandung 32 minggu, melepasi tempoh pengguguran yang dibenarkan India pada 20 minggu. Pengguguran selepas tempoh itu hanya dibenarkan sekiranya kehamilan mendatangkan bahaya kepada ibu atau bayi dalam kandungan.

Dalam pemfailan permohonan di mahkamah hari ini, peguam negeri berkata gadis itu akan “mengalami trauma dan kemurungan” sekiranya dia tidak dibenarkan mengugurkan kandungan.

Media tempatan melaporkan yang rakan ayah mangsa sudah ditahan atas dakwaan merogol.

Kes itu susulan selepas satu lagi kes dibuat mangsa rogol berusia 10 tahun untuk menggugurkan kandungan ditolak mahkamah kerana laporan perubatan mengesahkan tindakan itu boleh mengancam nyawa gadis itu.

Kebelakangan ini, mahkamah negara itu menerima banyak permohonan wanita termasuklah mangsa rogol dan perdagangan manusia untuk membenarkan mereka melakukan penguguran walaupun kehamilan sudah melepasi tempoh 20 minggu.

Aktivis berkata sekatan itu perlu dianjakan kepada 24 mingggu kerana dalam banyak kes mangsa rogol lewat melaporkan kehamilan mereka.

Kes serangan seksual kepada kanak-kanak di India mencecah 20,000 kes pada 2015 mengikut data yang dikeluarkan kerajaan. – AFP, 6 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen