SEKURANG-KURANGNYA tujuh orang terbunuh termasuk dua kanak-kanak dalam satu letupan selepas pasukan keselamatan Bangladesh menyerbu tempat persembunyian militan Islam, kata polis hari ini.
Dua orang wanita juga antara yang terbunuh dalam letupan di bangunan lima tingkat yang diserbu pasukan elit Rapid Action Battalion (RAB) awal pagi semalam selepas memperolehi maklumat yang pemimpin malitan sedang bersembunyi di situ.
“Tujuh mayat ditemui. Semuanya hangus terbakar,” kata jurucakap RAB, Mufti Mahmud kepada AFP menambah yang semua mayat tidak dapat dikenalpasti.
Katanya, bangunan di Mirpur, Dhaka itu dipercayai menjadi tempat persembunyian Abdullah, seorang pengganas Islam JMB (Jamayetul Mujahideen Bangladesh) yang bertanggungjawab terhadap banyak serangan buruk sejak beberapa tahun lalu di negara itu.
“Ada letupan dalam biliknya. Tujuh orang yang berada dalam bilik itu terbunuh kerana letupan itu,” katanya.
RAB bertanggungjawab menangani pengganas Islam di Bangladesh.
Anggota keselamatan mengepung bangunan itu hampir 24 jam dan memberikan peluang kepada mereka menyerahkan diri.
Bangladesh menyalahkan JMB susulan siri serangan sejak beberapa tahun lepas yang dilakukan ke atas rakyat asing, ateis, penulis blog, aktivis hak asasi dan kumpulan minoriti agama.
Dalam serangan terburuk, lima lelaki bersenjata menyerang sebuah kafe di Dhaka pada Julai 2016 membunuh 22 orang termasuk 18 rakyat asing.
Kumpulan Negara Islam Syria dan Iraq (IS) mengaku bertanggungjawab.
Tetapi polis dan kerajaan menyalahkan JMB dan menafikan IS mempunyai jaringan pengganas di Bangladesh. – AFP, 6 September, 2017.
Komen