Ekonomi penduduk meningkat punca rumah mampu milik mahal, kata PM


Asila Jalil

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad melancarkan Kempen Pemilikan Rumah di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur Kuala Lumpur hari ini. - Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 1 Mac, 2019.

PENINGKATAN status ekonomi rakyat menaikkan harga mampu milik kepada RM300,000 dan ke bawah, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, kerajaan berdepan kesukaran untuk menyediakan rumah mampu milik kepada mereka yang tinggal di bandar memandangkan permintaan yang semakin meningkat.

“Status ekonomi yang meningkat menyebabkan rumah mampu milik kini berharga RM300,000 ke bawah,” katanya semasa melancarkan Kempen Pemilikan Rumah (HOC) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.  

Bagaimanapun katanya, kerajaan komited memastikan rumah mampu milik cukup disediakan di bawah Dasar Perumahan Negara. 

“Tidak ada maknanya dalam pembangunan negara jika rakyat tinggal di rumah miskin yang tidak memenuhi syarat perumahan minimum.

“Kerajaan perlu memahami keperluan rakyat. Jika mereka memerlukan sebuah rumah, kerajaan bersama sektor swasta perlu menyediakan rumah mampu milik kepada mereka sama ada untuk dijual atau disewa,” katanya.

Beliau berkata, tanggungjawab mewujudkan sejuta rumah mampu milik di seluruh negara tidak dihadkan kepada kerajaan Pakatan Harapan kerana setiap pihak berkepentingan termasuk kerajaan negeri harus memainkan peranan mereka terutama dalam menyediakan tanah untuk pembangunan rumah.

Sementara itu katanya, pemaju swasta harus bekerjasama dan bersedia melabur untuk pembangunan rumah buat rakyat.

Tambahnya, membeli atau memiliki harta merupakan pelaburan bijak demi faedah jangka panjang.

“Nilai hartanah akan meningkat setiap tahun sejajar dengan nilai hartanah mengikut kawasan.

“Dengan kuasa pembeli yang tinggi pemilik rumah boleh membuat keputusan untuk menjual harta mereka dan membeli rumah lebih besar,” katanya. – 1 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen