KO Mratt, etnik Rohingya dari Myanmar menceritakan kisah tragiknya kepada penyelidik bagaimana dia hampir kehilangan seluruh ahli keluarganya dalam pembunuhan kejam yang didakwa dilakukan tentera Myanmar tahun lepas.
Bekas penduduk perbandaran Maungdaw itu berkata beliau kehilangan adik yang sedang melahirkan bayi, seorang lagi adik yang hamil tujuh bulan, anak lelaki berusia empat tahun dan anak saudara lelaki berusia lima tahun pada 14 Oktober.
Mereka semua ditembak mati, katanya kepada penyelidik Rangkaian Hak Asasi Manusia Burma (BHRN) dalam laporan mengenai kekejaman terhadap orang Islam di Myanmar bertajuk “Penganiayaan terhadap Umat Islam di Burma. Laporan BHRN”.
Ko dalam laporan itu menceritakan bagaimana dia melihat ibunya yang berusia 70 tahun dibunuh, isteri ditembak dan rumah mereka dibakar dalam pembunuhan kejam itu.
Sebaik selepas kejadian mengerikan itu, Ko dan isterinya yang mengalami kecederaan parah melarikan diri dari bandar tersebut ke Cox’s Bazaar di Bangladesh, dan berjaya mendapatkan bantuan doktor untuk merawat luka tembakan yang dialami isterinya.
Isterinya selamat dalam tempoh getir itu. Doktor telah mengeluarkan serpihan peluru, tetapi 18 lagi serpihan masih berada dalam badan isterinya.
Laporan itu melibatkan lebih 350 wawancara dalam tempoh lapan bulan bermula Mac 2016, testimoni yang dikumpulkan daripada individu di lebih 46 bandar dan kampung seluruh Myanmar.
Rohingya sambut Aidiladha di sempadan Myanmar-Bangladesh
Laporan itu dikeluarkan Selasa lalu oleh pengasas dan pengarah eksekutifnya, Kyaw Win memberikan bukti kukuh mengenai penindasan sistematik berterusan berlaku tidak hanya terhad kepada etnik Rohingya tetapi juga orang Islam lain di Myanmar.
Laporan itu dikeluarkan selepas satu lagi serangan pembunuhan tercetus di negeri Rakhine yang menurut organisasi bantuan antarabangsa telah mengorbankan beratus-ratus nyawa termasuk wanita dan kanak-kanak.
Kekejaman itu didakwa dilakukan “Tatmadaw” atau tentera Myanmar juga telah memaksa lebih 100,000 orang Rohingya meninggalkan rumah mereka yang musnah dibakar.
Laporan setebal 100 halaman itu turut memaparkan pengalaman Ye Thu, 40< dari Maungdaw yang terlibat dalam kekejaman itu bersama tiga abangnya dan dua anak lelakinya.
Beliau berkata kira-kira jam 3.30 pagi pada 13 November, kampung mereka digemparkan dengan bunyi tembakan yang dilepaskan dari udara dan serangan darat pihak yang tidak dikenali. Keesokan harinya, dia melihat gerombolan besar anggota tentera menghampiri kampung dan berjaya melarikan diri ke belukar berhampiran.
Ye berkata dari tempat persembunyiannya, dia melihat Tatmadaw membakar kebanyakan 450 rumah di kampung itu menggunakan senjata roket pembakar.
Beliau juga menyaksikan tentera menangkap dan membunuh penduduk kampung antaranya anak saudara, sepupu dan menantu perempuannya.
Selain dokumenkan testimoni memperincikan kekejaman terhadap etnik Rohingya dalam operasi ketenteraan itu, BHRN juga merekodkan beberapa contoh, apabila umat Islam pelbagai etnik dinafikan hak untuk mendapatkan kad pengenalan atau dikenali sebagai Kad Pendaftaran Negara (NRC).
Menurut organisasi itu, umat Islam menghadapi banyak masalah ketika memohon NRC termasuk dinafikan hak dan keperluan melengkapkan dokumen yang sukar untuk diperoleh mengenai susur galur keluarga sebelum 1824.
Pihak berkuasa juga terus menyekat pembinaan semula masjid dan madrasah yang telah rosak, dimusnahkan atau ditutup dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
“Di Myanmar, keenganan pihak berkuasa untuk membenarkan pembinaan semula masjid yang musnah dan larangan terhadap umat Islam untuk melaksanakan ibadah di rumah ibadat mereka menjadi sebahagian strategi untuk menafikan hak beragama bagi orang Islam,” kata BHRN
Menurut laporan itu, lima tahun selepas keganasan tercetus antara penganut Buddha dan orang Islam di barat Myanmar, keadaan orang Islam (termasuk mereka yang bukan etnik Rohingya) di seluruh negara itu semakin buruk. – Bernama, 6 September, 2017.
Komen