SIKAP Ahmad Faizal Azumu yang memelihara hubungan rapat dengan pemimpin dan ahli perniagaan Umno menyebabkan menteri besar itu dilihat cenderung memihak parti lawan.
Sumber dalaman pentadbiran Pakatan Harapan (PH) Perak mendedahkan, sikap Faizal yang mengutamakan orang Umno itu juga menyebabkan sesetengah rakan dalam komponen PH berasa semakin tersisih.
Namun menurut orang kanannya, tindakan Faizal menjaga hubungan dengan Umno itu hanyalah atas sikap terbuka dan prinsip “kasih sayang” kepada semua.
Bendahari Bersatu Perak Amran Alang Ahmad memberitahu The Malaysian Insight, Faizal baik dengan ahli perniagaan Umno kerana kalangan individu berkenaan juga rakan baiknya.
“Kita tahu menteri besar pun produk Umno. Beliau tahu. Ini semua kawan, beliau sebagai menteri besar berkawan dengan semua kerana beliau amal konsep berkasih sayang,” katanya.
Amran yang juga ketua Bersatu bahagian Kampar berpendapat, Faizal menjadi sasaran serangan pihak tertentu yang mengambil kesempatan untuk melaga-lagakan PH.
“Mungkin disebabkan penerangan tidak jelas berkenaan apa yang menteri besar sudah buat. Dalam politik kawan boleh jadi lawan begitu juga sebaliknya,” katanya.

Beliau mengakui sememangnya terdapat usaha untuk menjatuhkan pengerusi PH Perak itu daripada jawatan menteri besar.
Bagaimanapun, Amran berkata usaha itu tidak berjaya dan membuktikan kedudukan Adun Chenderiang itu menerima sokongan kukuh sebagai menteri besar.
Usul undi tak percaya?
Amran berkata usaha itu semata-mata untuk menguji sekiranya kedudukan Faizal benar-benar kukuh sebagai menteri besar.
Ini memandangkan, Faizal berjaya dilantik ke jawatan itu pada tahun lalu atas sokongan dua bekas wakil rakyat Barisan Nasional (BN).
PH hanya memenangi 29 daripada 59 kerusi DUN Perak pada peringkat awal selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Dua Adun BN kemudiannya bertindak keluar daripada parti dan menyertai PH, membolehkan parti itu menubuhkan kerajaan negeri.
PH kini mempunyai 30 kerusi dengan DAP menguasai 18 DUN, PKR (4), Amanah (6), Bersatu (2), dan satu Bebas. BN menguasai 25 kerusi dan PAS tiga kerusi.
Amran juga menolak dakwaan bahawa undi tidak percaya akan diusulkan ke atas Faizal dan menganggapnya sebagai mainan politik.
“Ini beri gambaran pentadbiran PH kukuh, jadi tak timbul cerita berlaku undi tak percaya, nak jatuhkan menteri besar, tidak ada pun.
“Ini mainan pihak tertentu,” kata Amran yang berpendapat, rakyat semakin percaya kedudukan kerajaan negeri pimpinan Faizal kukuh.
Masalah dalaman Bersatu
Pengerusi Amanah Perak Asmuni Awi juga melihat Faizal menerima sokongan padu dan sikap serta personaliti Faizal yang mesra rakyat itu membantu pentadbiran negeri.
“Tak timbul suara akar umbi mengatakan tak percaya pada beliau, prestasinya bertambah baik dan kami ada hubungan akrab serta beliau mudah ditemui.
“Contohnya saya sendiri apabila minta bajet, misalnya ada bajet yang hanya boleh diluluskan menteri besar, Daripada pengalaman saya tidak ada satu pun yang ditolak,” katanya.
Asmuni seterusnya percaya masalah yang disebut-sebut kini lebih kepada masalah dalaman Bersatu dan percaya Faizal mampu menyelesaikannya.

Lapan Bahagian Bersatu Perak dilanda masalah sejak Hamidah Osman, salah seorang pengasas Bersatu, keluar parti lebih setahun lalu.
Difahamkan, kesemua ketua bahagian Bersatu yang terlibat digugurkan jawatan namun keahlian mereka masih dikekalkan.
Mengulas perkara itu, Amran berkata pemimpin bahagian berkenaan perlu diberi peluang kerana hanya digugurkan daripada jawatan dan tidak dipecat.
“Mereka ada ruang dalam pemilihan boleh tawar diri jadi ketua. Kalau mereka berkhidmat ahli parti akan angkat. Pemilihan parti adalah gelanggang sebenar,” katanya.
Beliau tidak menolak jangkaan bahawa isu tersebut timbul kerana pemimpin berkenaan bersaing untuk mengetengahkan diri masing-masing bagi menghadapi pemilihan parti tahun ini.
Rasa seperti anak tiri
Sumber dalaman pentadbiran PH Perak pula mendedahkan, sikap Faizal yang mengutamakan ahli-ahli Umno itu semakin menyisihkan rakan komponen PH.
Sumber memberitahu The Malaysian Insight, beberapa jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan negeri masih diterajui individu yang mesra Umno dan tidak dirombak.
Masalah sama dapat dikenal pasti apabila menteri besar itu hanya banyak mengumumkan inisiatif kepada rakyat tanpa langkah pelaksanaan.
“Kita tengok (pengumuman) air percuma dengan kad makanan dan kesihatan. Masa (pembentangan) bajet beliau umum tapi bila kita semak mekanisme pengagihan masih belum ada.”
Sumber itu kesal kerana pemimpin parti komponen dilayan seperti anak tiri.
“Kita parti komponen kena meminta-minta. Pengerusi GLC masih ada orang Umno, patutnya layan kita macam komponen, tapi kita pula yang kena ingatkan beliau.
“Layanan diberikan kepada kami umpama anak tiri. Lebihkan kawan Umno dia. Projek bagi dekat syarikat Umno. Bila kita tanya dia kata itu kawan dia,” kata sumber yang enggan dinamakan.
Isu dalam Bersatu ini juga timbul kerana pemimpin parti negeri itu setakat ini masih menyandang jawatan lantikan dan tidak dipilih, kata sumber lagi.
Ia menyebabkan timbul cadangan agar Faizal digantikan dengan tokoh seperti Ahli Parlimen Larut Hamzah Zainuddin sebagai pengerusi Bersatu Perak yang baharu.
“Kalau berterusan ia akan melemahkan parti. Mereka ini pun dilantik. Pihak atas boleh lantik orang lain,” kata sumber.
Presiden parti Muhyiddin Yassin pada minggu lalu memberi jaminan akan menyelesaikan krisis kepimpinan Bersatu Perak selepas Pilihan Raya Kecil DUN Semenyih. – 5 Mac, 2019.
Komen